Wednesday, March 12, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wudhu dan sembahyang orang yang sentiasa dalam hadats

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sembahyang adalah ibadat yang paling utama dalam syariat Islam. Ia merupakan amalan yang paling awal sekali dihisab pada hari akhirat kelak.

    Tamim ad-Dari Radhiallahu ‘anhu telah berkata, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    “(Amalan) yang paling awal sekali diperhitungkan seorang hamba dengannya pada hari qiamat kelak ialah sembahyangnya”.

    (Hadits riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan ad-Darimi)

    Tuntutan sembahyang tidak akan gugur selagimana seorang hamba Allah itu masih dikategorikan dalam golongan yang mencukupi syarat-syarat wajib mengerjakannya walaupun keadaan fizikalnya memaksa dirinya untuk mengerjakan sembahyang itu secara duduk, berbaring, isyarat mata, menggantikan wudhu dengan tayammum dan sebagainya.

    Bagaimana pula halnya orang yang sentiasa dalam keadaan berhadats? Hal ini menimbulkan kemusykilan kerana antara syarat sah sembahyang itu ialah suci daripada hadats dan najis. Orang yang sentiasa dalam hadats, umpamanya orang yang sentiasa keluar air kencing, atau sentiasa keluar air mazi, atau perempuan yang mengalami istihadhah, tidak syak lagi akan sentiasa berada dalam keadaan berhadats dan akan sentiasa menanggung najis. Ini kerana sepertimana yang dimaklumi, tiap sesuatu yang keluar daripada dua jalan yang biasa iaitu qubul dan dubur, sama ada air kencing, air mazi, air wadi, tahi, kentut dan sebagainya adalah termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan wudhu.

    Bagaimana pula halnya jika kedua-dua jalan tersebut (qubul dan dubur), atau salah satu daripadanya terhenti atau tersumbat kerana suatu penyakit atau sesuatu halangan?

    Adakah air kencing, tahi dan sebagainya yang keluar daripada selain dua jalan yang biasa itu juga membatalkan wudhu? Bagi menjawab persoalan ini, ulama mazhab as-Syafi‘i membahagikan permasalahan ini kepada dua keadaan:

    Yang pertama, jika ia keluar daripada lubang di kawasan bawah pusat, maka ia juga membatalkan wudhu.

    Yang kedua, jika ia keluar daripada lubang di kawasan atas pusat atau pada kawasan pusat itu sendiri, maka ianya tidak membatalkan wudhu.

    Persoalannya di sini, adakah perkara ini dianggap suatu keuzuran yang mengharuskan orang yang sentiasa dalam hadats ini untuk meninggalkan sembahyang atas alasan sembahyangnya tidak akan sah kerana sentiasa dalam hadats?

    Persoalan ini terjawab dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, bahawa Fatimah binti Abu Hubaisyh Radhiallahu ‘anha telah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

    “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya adalah perempuan yang beristihadhah, sehingga saya tiada (waktu) suci. Apakah saya boleh meninggalkan sembahyang?”

    Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun menjawab: “Tidak, itu hanyalah ‘irq (pendarahan) dan ia bukannya haidh. Oleh kerana itu jika datang haidhmu, maka tinggalkan sembahyang, dan jika kadar masa telah berlalu (tamat), maka bersihkanlah darah daripada dirimu, kemudian sembahyanglah”.

    (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Dalam hadits ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan jelas menegaskan bahawa perempuan yang dalam istihadhah, sungguhpun keadaan mereka itu menyebabkan mereka sentiasa dalam keadaan berhadats, ianya bukanlah satu keuzuran yang mengharuskan mereka untuk meninggalkan sembahyang. Maka para ulama pun mengqiaskan hukum tetap wajib sembahyang ke atas perempuan istihadhah dalam hadits ini dengan keadaan-keadaan seumpamanya yang lain yang menyebabkan seseorang itu sentiasa dalam keadaan berhadats, seperti orang yang sentiasa keluar air kencing, air mazi, kentut dan sebagainya.

    Jelasnya di sini, orang yang sentiasa dalam hadats itu tetap sahaja wajib mengerjakan sembahyang. Akan tetapi, terdapat beberapa perkara yang wajib diketahui dan wajib dipatuhi oleh orang yang sentiasa dalam hadats ini dalam perkara mengambil wudhu dan begitu juga dalam perkara mengerjakan sembahyang itu sendiri.

    Wudhu orang yang sentiasa dalam hadats

    Menurut ulama, orang yang sentiasa dalam hadats disyaratkan untuk berwudhu bagi setiap kali hendak menunaikan sembahyang fardhu dan disyaratkan juga supaya wudhu itu dikerjakan sesudah masuk waktu sembahyang. Jadi, tidak sah wudhu itu jika dikerjakan sebelum masuk waktu sembahyang fardhu yang hendak ditunaikan itu. Ini kerana wudhu yang dikerjakan oleh orang yang seumpama ini adalah thaharah (penyucian) ketika darurat, jadi tidaklah harus baginya untuk mengerjakan sesuatu sebelum tiba waktunya disebabkan ketiadaan darurat pada ketika itu.

    Sebelum berwudhu, orang yang sentiasa dalam hadats disyaratkan supaya beristinja terlebih dahulu kemudian bersegera menampal tempat keluar najis dengan sesuatu yang dapat menghalang najis daripada mengotori pakaian, tempat sembahyang dan sebagainya.

    Kemudian hendaklah orang tersebut bersegera mengambil wudhu dengan memastikan bahawa wudhu itu dikerjakan sesudah masuk waktu sembahyang sepertimana yang telah disebutkan tadi.

    Dari segi niat pula, orang yang sentiasa dalam hadats ini tidak memadai wudhunya jika ianya diniatkan bagi mengangkat hadats semata-mata, bahkan hendaklah diniatkan wudhunya itu bagi membolehkan dan mengharuskannya mendirikan sembahyang. Ini kerana pada hakikatnya, hadats orang tersebut tidak terangkat disebabkan air kencing atau darah istihadhah atau sebagainya yang sentiasa keluar atau boleh keluar pada bila-bila masa.

    Contoh niat wudhu bagi mengharuskan sembahyang itu adalah seperti berikut: “Sahaja aku berwudhu bagi mengharuskan sembahyang fardhu Zuhur kerana Allah Ta‘ala”.

    Walau bagaimanapun, menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, sunat disatukan niat mengangkat hadats dengan niat mengharuskan sembahyang sebagai jalan keluar daripada perselisihan pendapat di kalangan para ulama dalam permasalahan niat wudhu bagi orang yang sentiasa dalam keadaan berhadats ini.

    Contoh niatnya: “Sahaja aku mengangkat hadats bagi mengharuskan sembahyang fardhu Zuhur kerana Allah Ta‘ala”.

    Perlu diingat di sini bahawa satu wudhu hanya sah untuk mendirikan satu sembahyang fardhu sahaja. Maka tidak sah orang tersebut mendirikan sembahyang fardhu yang lain jika dia telahpun mengerjakan satu sembahyang fardhu dengan wudhunya itu tadi walaupun pada hakikatnya wudhunya itu belum lagi batal. Jelasnya di sini, jika orang tersebut hendak mengerjakan sembahyang fardhu yang lain selepas itu, misalnya hendak mengerjakan sembahyang nazar, maka wajib ke atasnya untuk berwudhu sekali lagi.

    Walau bagaimanapun, had satu wudhu bagi satu sembahyang fardhu ini hanya dikhususkan bagi sembahyang fardhu sahaja. Adapun bagi sembahyang sunat pula, orang tersebut diharuskan mengerjakan sembahyang sunat dengan wudhunya itu sebanyak mana yang dikehendakinya tanpa perlu berwudhu kembali walaupun setelah mengerjakan sembahyang fardhu.

    Jika dia meniatkan wudhu itu untuk mengharuskan sembahyang fardhu secara umum tanpa menentukan adakah ia sembahyang fardhu Subuh, atau sembahyang fardhu Zuhur, atau sembahyang fardhu Asar dan sebagainya, misalnya dia berniat: “Sahaja aku berwudhu bagi mengharuskan sembahyang fardhu kerana Allah Ta‘ala”, maka dalam hal ini dia boleh mengerjakan apa sahaja satu sembahyang fardhu dan beberapa apa sahaja sembahyang sunat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda