Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Siri Kedua
Walau bagaimanapun, jika dia meniatkan wudhu itu untuk mengharuskan sembahyang sunat semata-mata, maka tidak sah baginya mengerjakan sembahyang fardhu.
Jika dia meniatkan wudhu itu untuk mengharuskan sembahyang semata-mata tanpa menentukan sembahyang apakah yang ingin dikerjakannya, misalnya dia berniat: “Sahaja aku berwudhu bagi mengharuskan sembahyang kerana Allah Ta‘ala”, maka menurut pendapat yang ashah (yang lebih sahih) dalam mazhab asy-Syafi‘i, wudhunya itu hanya memadai untuk mengerjakan sembahyang sunat sahaja dan tidak memadai untuk mengerjakan sembahyang fardhu.
Manakala wudhu yang diniatkan bagi mengharuskan atau mengerjakan ibadat lain seperti sujud tilawah, menyentuh atau membaca al-Qur‘an dan sebagainya tidaklah memadai untuk membolehkannya mengerjakan ibadat sembahyang sama ada sembahyang fardhu mahupun sembahyang sunat kerana ibadat sembahyang lebih tinggi daripada ibadat-ibadat tersebut. Ini kerana niat untuk mengharuskan suatu ibadat yang lebih rendah tidak memadai untuk mengharuskan suatu ibadat yang lebih tinggi.
Sembahyang orang yang sentiasa dalam hadats
Orang yang menghadapi masalah seperti ini, selain disyaratkan untuk mengerjakan wudhu setelah masuk waktu sembahyang fardhu yang hendak dikerjakannya, disyaratkan juga ke atasnya supaya segera menunaikan sembahyang fardhu sebaik sahaja selesai berwudhu.
Bagaimanapun, diharuskan baginya melewatkan sedikit sembahyangnya itu kerana keperluan atau tuntutan yang berkaitan dengan sembahyang seperti menutup aurat, azan, iqamat, berijtihad dalam menentukan qiblat, berusaha mencari pendinding tempat dia bersembahyang dan sebagainya. Akan tetapi jika dia melewatkannya tanpa sebarang keuzuran, maka batallah wudhunya kerana dia telah melampaui batas yang telah ditentukan.
Secara ringkasnya, orang yang sentiasa dalam hadats itu tetap wajib ke atasnya untuk mendirikan sembahyang fardhu. Jika dia hendak mengerjakan sembahyang fardhu, hendaklah dia beristinja terlebih dahulu kemudian segera menampal tempat keluar najis dengan sesuatu yang dapat menahan najis daripada mengotori pakaian, tempat sembahyang dan sebagainya.
Selepas itu hendaklah dia segera berwudhu dengan memastikan bahawa wudhunya itu dikerjakan setelah sabit masuk waktu sembahyang fardhu yang hendak dikerjakannya dengan mematuhi kaedah berniat yang telah disebutkan sebelum ini. Sebaik sahaja selesai berwudhu, maka hendaklah dia terus sahaja mengerjakan sembahyang fardhu tersebut kecuali jika ada keperluan atau tuntutan yang berkaitan dengan sembahyang yang memerlukannya melakukan demikian.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/06/P16-A-Freepik_23062023.jpg)