(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Sembahyang adalah ibadat yang paling utama dalam syariat Islam. Ia merupakan amalan yang paling awal sekali dihisab pada hari akhirat kelak.
Tamim ad-Dari r.a. berkata, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: “(Amalan) yang awal sekali diperhitungkan seorang hamba dengannya pada hari kiamat kelak ialah sembahyangnya.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud, Imam Ibnu Majah, Imam Ahmad dan Imam ad-Darimi)
Tuntutan sembahyang tidak akan gugur selagi mana seorang hamba Allah itu masih dikategorikan dalam golongan yang mencukupi syarat-syarat wajib mengerjakannya walaupun keadaan fizikalnya memaksa dirinya untuk mengerjakan sembahyang itu secara duduk, berbaring, isyarat mata, menggantikan wuduk dengan tayammum dan sebagainya.
Bagaimana pula halnya orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas? Hal ini menimbulkan kemusykilan kerana antara syarat sah sembahyang itu ialah suci daripada hadas dan najis.
Orang yang sentiasa dalam hadas, umpamanya orang yang sentiasa keluar air kencing, atau sentiasa keluar air mazi, atau perempuan yang mengalami istihadhah, tidak syak lagi akan sentiasa berada dalam keadaan berhadas dan akan sentiasa menanggung najis.


Ini kerana sepertimana yang dimaklumi, tiap sesuatu yang keluar daripada dua jalan yang biasa iaitu qubul dan dubur, sama ada air kencing, air mazi, air wadi, tahi, kentut dan sebagainya adalah termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan wuduk.
Bagaimana pula halnya jika kedua-dua jalan tersebut (qubul dan dubur) atau salah satu daripadanya terhenti atau tersumbat kerana suatu penyakit atau sesuatu halangan?
Adakah air kencing, tahi dan sebagainya yang keluar daripada selain dua jalan yang biasa itu juga membatalkan wuduk? Bagi menjawab persoalan ini, ulama mazhab asy-Syafi‘i membahagikan permasalahan ini kepada dua keadaan:
Satu, jika ia keluar daripada lubang di kawasan bawah pusat, maka ia juga membatalkan wuduk .
Dua, jika ia keluar daripada lubang di kawasan atas pusat atau pada kawasan pusat itu sendiri, maka ianya tidak membatalkan wuduk.
Persoalannya di sini, adakah perkara ini dianggap suatu keuzuran yang mengharuskan orang yang sentiasa dalam hadas ini untuk meninggalkan sembahyang atas alasan sembahyangnya tidak akan sah kerana sentiasa dalam hadas?
Persoalan ini terjawab dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah r.a., bahawa Fatimah binti Abu Hubaisyh r.a. telah bertanya kepada Rasulullah SAW yang maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya adalah perempuan yang beristihadhah, sehingga saya tiada (waktu) suci. Apakah saya boleh meninggalkan sembahyang?”
Maka Rasulullah SAW pun menjawab: “Tidak, itu hanyalah ‘irq (pendarahan) dan ia bukannya haid. Oleh kerana itu jika datang haidmu, maka tinggalkan sembahyang, dan jika kadar masa telah berlalu (tamat), maka bersihkanlah darah daripada dirimu, kemudian sembahyanglah”. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)
Dalam hadis ini, Rasulullah SAW dengan jelas menegaskan bahawa perempuan yang dalam istihadhah, sungguhpun keadaan mereka itu menyebabkan mereka sentiasa dalam keadaan berhadas, ianya bukanlah satu keuzuran yang mengharuskan mereka untuk meninggalkan sembahyang.
Maka para ulama pun mengqiaskan hukum tetap wajib sembahyang ke atas perempuan istihadhah dalam hadis ini dengan keadaan-keadaan seumpamanya yang lain yang menyebabkan seseorang itu sentiasa dalam keadaan berhadas, seperti orang yang sentiasa keluar air kencing, air mazi, kentut dan sebagainya.
Jelasnya di sini, orang yang sentiasa dalam hadas itu tetap sahaja wajib mengerjakan sembahyang.
Akan tetapi, terdapat beberapa perkara yang wajib diketahui dan wajib dipatuhi oleh orang yang sentiasa dalam hadas ini dalam perkara mengambil wuduk dan begitu juga dalam perkara mengerjakan sembahyang itu sendiri.
Wuduk orang yang sentiasa dalam hadas
Menurut ulama, orang yang sentiasa dalam hadas disyaratkan untuk berwuduk bagi setiap kali hendak menunaikan sembahyang fardu dan disyaratkan juga supaya wuduk itu dikerjakan sesudah masuk waktu sembahyang.
Jadi, tidak sah wuduk itu jika di-kerjakan sebelum masuk waktu sembahyang fardu yang hendak ditunaikan itu.
Ini kerana wuduk yang dikerjakan oleh orang yang seumpama ini adalah thaharah (penyucian) ketika darurat, jadi tidaklah harus baginya untuk mengerjakan sesuatu sebelum tiba waktunya di-sebabkan ketiadaan darurat ketika itu.
Sebelum berwuduk, orang yang sentiasa dalam hadas disyaratkan supaya beristinja terlebih dahulu kemudian bersegera menampal tempat keluar najis dengan sesuatu yang dapat menghalang najis daripada mengotori pakaian, tempat sembahyang dan sebagainya.
Kemudian hendaklah orang tersebut bersegera mengambil wuduk dengan memastikan bahawa wuduk itu dikerjakan sesudah masuk waktu sembahyang sepertimana yang telah disebutkan tadi.
Dari segi niat pula, orang yang sentiasa dalam hadas ini tidak memadai wuduknya jika ianya diniatkan bagi mengangkat hadas semata-mata, bahkan hendaklah diniatkan wuduk nya itu bagi membolehkan dan mengharuskannya mendirikan sembahyang.
Ini kerana pada hakikatnya, hadas orang tersebut tidak terangkat disebabkan air kencing atau darah istihadhah atau sebagainya yang sentiasa keluar atau boleh keluar pada bila-bila masa.
Contoh niat wuduk bagi mengha-ruskan sembahyang itu adalah seperti berikut: “Sahaja aku berwuduk bagi mengharuskan sembahyang fardu Zuhur kerana Allah Ta‘ala”.
Walau bagaimanapun, menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, sunat disatukan niat mengangkat hadas dengan niat mengharuskan sembahyang sebagai jalan keluar daripada perselisihan pendapat di kalangan para ulama dalam permasalahan niat wuduk bagi orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas ini.
Contoh niatnya: “Sahaja aku mengangkat hadas bagi mengharuskan sembahyang fardu Zuhur kerana Allah Ta‘ala”.
Perlu diingat di sini bahawa satu wuduk hanya sah untuk mendirikan satu sembahyang fardu sahaja.
Maka tidak sah orang tersebut mendirikan sembahyang fardu yang lain jika dia telah pun mengerjakan satu sembahyang fardu dengan wuduknya itu tadi walaupun pada hakikatnya wuduk nya itu belum lagi batal.
Jelasnya di sini, jika orang tersebut hendak mengerjakan sembahyang fardu yang lain selepas itu, misalnya hendak mengerjakan sembahyang nazar, maka wajib ke atasnya untuk berwuduk sekali lagi.
Walau bagaimanapun, had satu wuduk bagi satu sembahyang fardu ini hanya dikhususkan bagi sembahyang fardu sahaja.
Adapun bagi sembahyang sunat pula, orang tersebut diharuskan mengerjakan sembahyang sunat dengan wuduknya itu sebanyak mana yang dikehendakinya tanpa perlu berwuduk kembali walaupun setelah mengerjakan sembahyang fardu.
Jika dia meniatkan wuduk itu untuk mengharuskan sembahyang fardu secara umum tanpa menentukan adakah ia sembahyang Fardu Subuh, atau sembahyang Fardu Zuhur, atau sembahyang fardu Asar dan sebagainya, misalnya dia berniat: “Sahaja aku berwudu bagi mengharuskan sembahyang fardu ke-rana Allah Ta‘ala”, maka dalam hal ini dia boleh mengerjakan apa sahaja satu sembahyang fardu dan beberapa apa sahaja sembahyang sunat.
Walau bagaimanapun, jika dia meniatkan wuduk itu untuk mengharuskan sembahyang sunat semata-mata, maka tidak sah baginya mengerjakan sembahyang fardu.
Jika dia meniatkan wuduk itu untuk mengharuskan sembahyang semata-mata tanpa menentukan sembahyang apakah yang ingin dikerjakannya, misalnya dia berniat: “Sahaja aku berwuduk bagi mengharuskan sembahyang kerana Allah Ta‘ala”, maka menurut pendapat yang ashah (yang lebih sahih) dalam mazhab asy-Syafi‘i, wuduknya itu hanya memadai untuk mengerjakan sembahyang sunat sahaja dan tidak memadai untuk mengerjakan sembahyang fardu.
Manakala wuduk yang diniatkan bagi mengharuskan atau mengerjakan ibadat lain seperti sujud tilawah, menyentuh atau membaca al-Qur‘an dan sebagainya tidaklah memadai untuk membolehkannya mengerjakan ibadat sembahyang sama ada sembahyang fardu mahupun sembahyang sunat kerana ibadat sembahyang lebih tinggi daripada ibadat-ibadat tersebut.
Ini kerana niat untuk mengharuskan suatu ibadat yang lebih rendah tidak memadai untuk mengharuskan suatu ibadat yang lebih tinggi.
Sembahyang orang yang sentiasa dalam hadas
Orang yang menghadapi masalah seperti ini, selain disyaratkan untuk mengerjakan wuduk setelah masuk waktu sembahyang fardu yang hendak dikerjakannya, disyaratkan juga ke atasnya supaya segera menunaikan sembahyang fardu sebaik sahaja selesai berwuduk.
Bagaimanapun, diharuskan bagi-nya melewatkan sedikit sembahyangnya itu kerana keperluan atau tuntutan yang berkaitan dengan sembahyang seperti menutup aurat, azan, iqamat, berijtihad dalam menentukan kiblat, berusaha mencari pendinding tempat dia bersembahyang dan sebagainya. Akan tetapi jika dia melewatkannya tanpa sebarang keuzuran, maka batallah wuduknya kerana dia telah melampaui batas yang telah ditentukan.
Secara ringkasnya, orang yang sentiasa dalam hadas itu tetap wajib ke atasnya untuk mendirikan sembahyang fardu. Jika dia hendak mengerjakan sembahyang fardu, hendaklah dia beristinja terlebih dahulu kemudian segera menampal tempat keluar najis dengan sesuatu yang dapat menahan najis daripada mengotori pakaian, tempat sembahyang dan sebagainya. Selepas itu hendaklah dia segera berwuduk dengan memastikan bahawa wuduk nya itu dikerjakan setelah sabit masuk waktu sembahyang fardu yang hendak dikerjakannya dengan mematuhi kaedah berniat yang telah disebutkan sebelum ini. Sebaik sahaja selesai berwuduk, maka hendaklah dia terus sahaja mengerjakan sembahyang fardu tersebut kecuali jika ada keperluan atau tuntutan yang berkaitan dengan sembahyang yang memerlukannya melakukan demikian.