Saturday, July 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    WUG 2025 : Jacky mara ke pusingan 32 terbaik acara badminton

    MULHEIM AN DER RUHR, 24 JULAI – Malaysia berjaya meneruskan cabaran dalam acara badminton apabila lima wakil negara mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025, awal pagi hari ini.

    Dua perseorangan lelaki Malaysia, Jacky Kok Jing Hong akan bertemu Sok Rekreay dari Sri Lanka dan Eogene Ewe bakal membuat perhitungan berdepan Donnias Oliveira dari Brazil, selepas menewaskan lawan masing-masing di pusingan 64 terbaik yang berlangsung di Westenergie Sporthalle.

    Dalam acara perseorangan wanita, Wong Ling Ching akan bertemu Weronika Gorniak dari Poland, manakala Siti Zulaikha Muhammad Azmi bakal menentang Suhasni Vidanage dari Sri Lanka.

    Turut mara ialah beregu campuran, Liew Xun-Vannee Gobi, yang akan berdepan Sathish Kumar Karunakaran-Vaishnavi Khadkekar dari India.

    Bagaimanapun, Malaysia gagal untuk sekurang-kurangnya mempertahankan pingat gangsa dalam acara beregu lelaki selepas gandingan, Muhammad Fazriq Mohamad Rashid-Bryan Jeremy Gooting, tumpas di tangan Jepun, Shiina Sato-Tsubasa Yoshida dengan catatan mata perlawanan 9-15, 7-15 pada aksi pusingan 32 terbaik.

    Terdahulu, pasangan Jepun itu menyingkirkan satu lagi gandingan Malaysia, Liew Xun-Wee Yee Hern 15-12, 15-10 di pusingan 64 terbaik.

    Sementara itu, pada hari terakhir saingan taekwondo, Malaysia menutup kempen tanpa sebarang pingat selepas trio, Ahmad Nor Iman Hakim Rakib, Fu Cern Put Thai dan Muhammad Syafiq Zuber, tewas 0-2 di tangan Taiwan pada aksi pusingan 16 terbaik acara kyorugi berpasukan lelaki. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda