ESSEN, 21 JULAI – Skuad olahraga Malaysia diketuai jaguh pecut, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, dijadualkan memulakan cabaran pada Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion, Bochum, Jerman, hari ini.
Muhammad Azeem yang juga pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan masa 10.09s akan turun berentap dalam pusingan pertama acara kegemarannya itu.
Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu bakal diiringi rakan sepasukan, Aliff Iman Mohd Fahimi.
Pada masa sama, pemegang rekod 400m kebangsaan dengan catatan 46.09s, Umar Osman, selain Muhammad Aidil Azhar Azrul Hisyam akan menggalas cabaran negara dalam acara 400m lelaki.
Pemegang rekod 400m lari berpagar kebangsaan dengan masa 51.26s, Muhammad Fakrul Afizul Nasir, turut dijadualkan beraksi.
Amerika Syarikat kini mendahului carta kedudukan pingat dengan mengumpul keseluruhan sembilan emas, enam perak dan 14 gangsa, diikuti China (6,10,3) dan tuan rumah (6,3,7).
WUG 2025 berlangsung hingga 27 Julai ini. – Bernama
