Monday, January 20, 2025
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wuhan usaha hapus label pandemik selepas 5 tahun wabak tercetus

    WUHAN, 19 JAN – Hospital Huoshenshan di Wuhan yang siap dibina hanya dalam tempoh beberapa hari selepas lonjakan kes COVID-19 pernah dianggap sebagai simbol perjuangan menentang virus yang mula merebak di bandar China itu.

    Kini hospital itu terbiar kosong, terselindung di sebalik tembok yang baru dibina, semakin ‘pudar’ seperti kebanyakan kesan pandemik apabila penduduk tempatan sudah melupakannya dan pihak berkuasa menghalang perbincangan lanjut mengenainya.

    Pada 23 Januari 2020, dengan virus yang ketika itu belum dikenal pasti merebak, Wuhan telah melaksanakan perintah berkurung ketat selama 76 hari, membuka era jangkitan sifar COVID-19, susulan China memperkenalkan kawalan ketat terhadap perjalanan dan kesihatan, serta meramalkan gangguan global akan datang.

    Hari ini, ia kembali menjadi daerah membeli-belah sibuk dengan kesesakan trafik di bandar itu jauh berbeza dari jalan-jalan kosong dan bilik kecemasan yang sesak, menandakan pelaksanaan perintah berkurung COVID-19 pertama di dunia.

    “Orang ramai sudah melupakannya dan menjalani kehidupan yang bergerak pantas, kenangan pandemik itu semakin lenyap,” kata pelajar universiti, Jack He, 20 yang berasal dari Wuhan kepada AFP.

    Gambar fail bertarikh 21 Disember 2021 menunjukkan pekerja kesihatan mengumpul sampel untuk diuji bagi wabak COVID-19 di taman bertema ais dan salji di Wuhan di wilayah Hubei, tengah China. – AFP

    Ketika pandemik, dia belajar di sekolah menengah semasa perintah berkurung dikenakan dan banyak menghabiskan tahun kedua persekolahannya dengan mengikuti kelas dalam talian dari rumah.

    “Kami masih merasakan tempoh beberapa tahun itu sangat sukar tetapi kehidupan baharu sudah bermula,” katanya.

    Sementara itu, bekas tapak Pasar Borong Makanan Laut Huanan, tempat di mana saintis percaya virus mungkin berpindah daripada haiwan kepada manusia, tembok biru muda dibina untuk menutup pandangan terhadap gerai-gerai pasar yang sudah ditutup.

    Ketika AFP membuat tinjauan, pekerja sedang memasang hiasan Tahun Baharu Cina di tingkap tingkat dua pasar itu, di mana sebuah rangkaian kedai optik masih beroperasi.

    Tiada apa mercu tanda penting kelihatan di lokasi itu, tetapi tiada memorial peringatan utama untuk mengingati nyawa yang terkorban akibat virus di bandar itu.

    Upacara rasmi memperingati penderitaan Wuhan semasa perintah berkurung memberi tumpuan kepada wira doktor dan kecekapan bandar itu bertindak balas terhadap penularan jangkitan, walaupun mendapat kritikan antarabangsa terhadap penapisan kerajaan tempatan terhadap kes-kes awal pada Disember 2019. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda