Dengan para pelajar memulakan cuti penggal persekolahan sebulan lamanya ini, tidak ada yang lebih penting melainkan sentiasa terus membuat perancangan apa aktiviti yang akan dilakukan setiap hari.
Sebilangan keluarga pasti ada yang hanya mahu meluangkan masa di dalam negara, sehubungan dengan itu, saya berharap pihak-pihak yang berkenaan dapat mengadakan aktiviti yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat tidak kira warga emas mahupun kanak-kanak.
Wujudnya aktiviti yang melibatkan semua masyarakat adalah suatu langkah penting dalam mengukuhkan ikatan sosial dan memperkukuh perpaduan dalam komuniti.
Aktiviti-aktiviti ini tidak hanya menggalakkan kerjasama antara individu daripada pelbagai latar belakang, tetapi juga memberi peluang kepada setiap orang turut serta dan menyumbang ke arah kebaikan bersama.
Contoh aktiviti yang melibatkan masyarakat termasuklah program gotong-royong, acara sukan komuniti, kelas kemahiran, aktiviti kebajikan, acara beriadah, sukan ria, kem seni atau bengkel teknologi.
Setakat ini, hanya ada satu acara yang melibatkan seluruh masyarakat Brunei seperti kempen berjalan kaki 80 billion steps anjuran Kementerian Kesihatan.
Kempen seumpamanya perlu dimasukkan dalam Brunei Book of Record.
Di India, contohnya, setiap tahun mereka akan mengadakan yoga secara beramai-ramai, selain itu ada juga negara lain yang mengadakan majlis berzikir hingga direkodkan dalam sejarah unggul mereka.
Aktiviti yang diadakan bukan hanya terhad pada acara jual-jualan yang berorientasikan keuntungan semata-mata, sebaliknya, ia harus memberi fokus kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan bersama.
Aktiviti-aktiviti seperti ini juga boleh memberi peluang kepada masyarakat untuk membina kemahiran baharu, mengeratkan hubungan sesama mereka dan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu semasa yang memberi impak kepada kehidupan seharian.
Aktiviti yang melibatkan kepelbagaian ini turut membantu memupuk semangat kekitaan dan menjadi platform masyarakat untuk berkolaborasi meningkatkan mutu kehidupan.
Miz N