Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Dengan matlamat untuk mewujudkan kerjasama di antara Kementerian Kesihatan bersama Universiti Osaka, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar telah membuat lawatan kerja ke Universiti Osaka, Jepun, kelmarin.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, di sini, lawatan kerja itu adalah bagi mewujudkan kerjasama antara kedua-dua pihak berkenaan khususnya bagi latihan para pegawai Kementerian Kesihatan dalam bidang-bidang perubatan tertentu termasuk gastroenterologi dan pembedahan umum.
Lawatan itu adalah sebagai kesinambungan kepada perundingan yang telah diadakan oleh Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam dengan Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam serta Universiti Osaka.
Terdahulu, Yang Berhormat Dato telah membuat kunjung hormat kepada Menteri Kesihatan, Buruh dan Kesejahteraan, Jepun, Tuan Yang Terutama Takemi Keizo dan seterusnya mengadakan lawatan di kementerian tersebut serta kemudahan-kemudahan kesihatan yang berkenaan.
Semasa kunjungan hormat itu, perkongsian mengenai perkembangan isu-isu kesihatan, perlaksanaan program-program kesihatan kebangsaan dan global serta amalan-amalan terbaik telah diadakan khususnya berkenaan dengan penuaan sihat di mana kedua-dua negara mengalami beban kesihatan yang serupa iaitu penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penuaan penduduk yang pantas.

Di samping itu, model pembiayaan penjagaan kesihatan mampan di Jepun juga telah dikongsi yang mana ia berkesan dalam memastikan sistem kesihatan Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) di negara berkenaan dapat dilaksanakan.
Sementara itu, semasa lawatan ke Universiti Osaka, Yang Berhormat Dato telah mengadakan perjumpaan bersama Presiden Universiti Osaka, Shojiro Nishio dan beberapa pihak yang berkepentingan lain termasuk Dekan Sekolah Siswazah Perubatan dan Pengarah Hospital Universiti Osaka, dengan perbincangan menjurus kepada amalan-amalan penjagaan kesihatan terbaik dan rawatan yang efektif.
Di samping itu, cadangan bagi memeterai memorandum persefahaman antara Kementerian Kesihatan Brunei dan Universiti Osaka berkaitan dengan latihan bagi profesional kesihatan juga dibincangkan termasuk latihan jangka pendek bagi pembangunan kemahiran dalam bidang gastroenterologi dan pembedahan umum.
Turut menyertai kunjungan hormat dan lawatan-lawatan kerja tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Tokyo, Jepun, Tuan Yang Terutama Haji Shahbudin bin Haji Musa; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui serta beberapa orang pegawai kanan Kementerian Kesihatan.