Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wujud sistem efektif elak biaya pengganas

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Nov – Pada masa ini, dinamik pengganasan telah berubah iaitu daripada serangan canggih yang berintensiti tinggi kepada serangan persendirian yang kos rendah dan teknologi rendah.

    Dari segi pembiayaan, perubahan itu menunjukkan pergerakan ke arah serangan murah dan dibiayai sendiri yang mana ia boleh dibiayai menerusi cara sah seperti menggunakan simpanan mereka sendiri atau melalui derma.

    Baru-baru ini, dengan meningkatnya penggunaan mata wang kripto (cryptocurrency), ia membawa persoalan jika teknologi kewangan itu, boleh digunakan sebagai alat pembia-yaan pengganas.

    Oleh itu, pada 2020, Negara Brunei Darussalam akan melalui proses penilaian bersama di mana kepatuhan kepada standard dan keberkesanan sistem kepada sistem Anti Penggubahan Wang Haram dan Membanteras Pembiayaan Pengganasan (AML/CFT) akan diuji dengan ketat.

    Namun begitu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar berkata, proses penilaian bersama berkenaan bukannya matlamat utama tetapi negara harus ber-gerak ke hadapan dengan objektif untuk mempunyai sebuah sistem kewangan efektif yang mampu untuk mengesan dan mengelakkan sistem kewangan Brunei daripada digunakan bagi tujuan pembiayaan keganasan dan pembersihan wang haram.

    Ketika berucap di Persidangan Membanteras Pembiayaan Peng-ganasan yang berlangsung di The Hotel Empire & Country Club, Jerudong, hari ini, Dato Seri Paduka Haji Hamdan berkata, terdapat peningkatan yang ke-tara dalam kepatuhan Brunei kepada perakuan Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) yang mana pada 2016, Penilaian Risiko Kebangsaan mengenai Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan telah siap dilaksanakan.

    Dato Seri Paduka Haji Hamdan, Dato Paduka Ahmaddin dan Awang Mohamed Riza bergambar ramai bersama ahli-ahli NAMLC dan para panel semasa Persidangan Membanteras Pembiayaan Pengganasan yang berlangsung di The Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

    Penilaian risiko kebangsaan itu merupakan prasyarat yang signifikan bagi pelaksanaan efektif langkah-langkah AML/CFT dalam usaha untuk mematuhi perakuan atau cadangan FATF serta memainkan peranan penting dalam memahami risiko pembiayaan pengganasan dan pengubahan wang haram Negara Brunei Darussalam.

    Pencapaian itu, ulasnya lagi, merupakan hanya satu permulaan dan telah diselaraskan dengan penerbitan ketiga, Strategi Kebangsaan bagi Pembanterasan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2017-2019.

    Langkah seterusnya, ulas Dato Seri Paduka Haji Hamdan, adalah untuk memastikan bahawa tindakan yang diambil selaras dengan risiko yang dikenal pasti dan untuk melaksanakan tindakan-tindakan yang telah ditetapkan dalam kedua-dua dokumen itu.

    Salah satu daripada tindakan yang dikenal pasti, adalah untuk meningkatkan kesedaran me-ngenai isu-isu berkaitan dengan pembiayaan pengganasan dalam kalangan pihak-pihak berkenaan yang relevan seperti bengkel pembanterasan pembiayaan pengganasan yang diadakan pada 13 September lalu dengan disertai oleh seramai 40 orang pegawai daripada agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang dan agensi perisikan.

    Dalam ucapannya juga, Dato Seri Paduka Haji Hamdan turut menegaskan kepentingan membanteras pembiayaan pengganasan di negara ini serta menekankan lagi matlamat utama persidangan itu iaitu untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai isu-isu pembiayaan pengganasan dalam kalangan pihak berkepentingan dalam meningkatkan pematuhan Brunei terhadap piawaian antarabangsa.

    Turut hadir di persidangan itu ialah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan bagi Membanteras Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan (NAMLC), Setia-usaha Tetap di Kementerian Kewangan, Dato Paduka Ah-maddin bin Haji Abdul Rahman dan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohamed Riza bin Dato Paduka Haji Mohamed Yunos serta ahli-ahli NAMLC yang lain.

    Persidangan itu dihadiri oleh kira-kira 200 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, pihak Autoriti Monetari Brunei Darussalam dan wakil-wakil daripada sektor swasta yang berkenaan.

    Di persidangan itu, ucaptama disampaikan oleh penceramah undangan dari Australian Transaction Reports and Analysis Centre, Alistair Sands yang menjelaskan mengenai risiko-risiko pembiayaan pengganasan serantau yang dihadapi oleh negara ini serta hasil perbincangan di Sidang Kemuncak Pembanterasan Pembiayaan Pengganasan yang berlangsung di Malaysia, baru-baru ini.

    Persidangan itu dibahagikan kepada tiga sesi panel yang disampaikan oleh pakar-pakar antarabangsa dalam bidang pembanterasan pembiayaan pengganasan, wakil-wakil dari agensi-agensi perisikan dan penguatkuasaan Negara Brunei Darussalam dan juga wakil-wakil dari sektor swasta.

    Tema bagi sesi panel itu termasuk Rejim Pembanterasan Pembiayaan di Negara Brunei Darussalam, Impak Media Sosial dan Perkembangan Teknologi Berhubung Pembiayaan Pengganasan dan Peranan Sektor Swasta Dalam Membanteras Pembiayaan Pengganasan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda