Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wujudkan gerakan bebas tembakau

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Pelaksanaan Perintah Tembakau 2005 yang memberi tumpuan kebangsaan bagi tindakan terhadap tembakau, termasuk pengetatan ke atas pengimportan, penjualan dan pengagihan produk tembakau telah memberi kesan ketara di mana sehingga hari ini, tidak ada lagi peruncit tembakau berlesen.

    Bagaimanapun, di sebalik itu produk-produk tembakau masih dijual secara haram di pasaran gelap dan ini adalah ancaman sebenar kepada masyarakat kita, tegas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

    Serentak dengan itu beliau menggesa diwujudkan satu pergerakan untuk mengambil tindakan menjadikan masyarakat dan negara bebas merokok demi kesihatan dan kesejahteraan semua.

    Dalam perutusan sempena Sambutan Hari Tembakau Sedunia pada 31 Mei, beliau berkata, tinjauan baru-baru ini menunjukkan bahawa 97 peratus orang dewasa menyedari bahawa merokok mengakibatkan penyakit serius.

    Sungguhpun demikian, 20 peratus penduduk dewasa dan 11 peratus penduduk muda masih terus merokok.

    “Marilah kita wujudkan satu pergerakan untuk menterjemahkan pengetahuan ini menjadi perubahan sebenar dalam tabiat,” tegas beliau.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain berkata, setiap orang mempunyai peranan dan tanggungjawab mereka sendiri dalam memerangi tembakau dan dengan bekerjasama, kita akan mewujudkan Brunei bebas tembakau.

    “Bagi kita yang tidak merokok boleh komited untuk tidak akan mengambil produk tembakau. Mereka yang menggunakan tembakau boleh meminta bantuan untuk menghentikan tabiat mereka dan membuat pilihan betul untuk kesihatan mereka,” tegas beliau.

    Menurut Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain, jika kita berhenti merokok hari ini, menjelang minggu depan, tekanan darah kita akan bertambah baik. Dalam tempoh beberapa bulan, pengalaman peningkatan ketara dalam fungsi paru-paru akan dirasai.

    “Dalam tempoh ini pada tahun hadapan, risiko penyakit jantung dan serangan jantung berkurang separuh.

    “Enggan mula merokok atau berhenti merokok adalah satu langkah penting yang boleh kita ambil untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan diri kita sendiri, keluarga kita dan mereka yang di sekeliling kita.”

    Beliau berkata, berhenti merokok adalah sukar bagi kebanyakan orang dan Kementerian Kesihatan akan memberikan setiap bantuan dalam menyokong individu-individu yang cuba berhenti merokok.

    “Jika pada masa ini awda adalah seorang perokok, berhenti merokok adalah keputusan paling terbaik yang awda boleh lakukan.

    “Menyertai dan menamatkan satu program profesional berhenti merokok boleh lebih menggandakan peluang perokok untuk berhenti merokok.

    “Jika awda atau seseorang yang awda kenali bercadang untuk berhenti merokok, jangan teragak-agak untuk menghubungi 123 hari ini untuk mengetahui tempat klinik berhenti merokok terdekat dengan awda.”

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain berkata, pada 31 Mei, Brunei Darussalam menyertai masyarakat sejagat memperingati Hari Tanpa Tembakau Sedunia.

    Tema tahun ini “Tembakau – ancaman bagi pembangunan,” menekankan ancaman penggunaan tembakau ke atas individu-individu, keluarga dan masyarakat dan bencana sebenar manusia akibat daripadanya dari segi penderitaan, penyakit dan kematian, menyebabkan kemiskinan keluarga dan perkembangan sosioekonomi Brunei sendiri.

    Katanya, wang yang tidak digunakan untuk tembakau sebaliknya boleh digunakan bagi kegunaan penting lain, termasuklah membeli makanan sihat dan juga pendidikan.

    Menurutnya lagi, isu-isu sekitar berhenti merokok khususnya adalah sejajar dengan keutamaan strategik Kementerian Kesihatan iaitu untuk menggerakkan agenda ‘Kesihatan adalah agenda urusan semua orang,’ meningkatkan kualiti perkhidmatan menerusi pensejajaran dan penyepaduan serta mencegah dan mengawal penyakit-penyakit yang tidak mudah berjangkit.

    Maka itu, pada Hari Tanpa Tembakau Sedunia ini, marilah kita merenungkan bagaimana kita semua sebagai ‘bersama atau sebagai individu, boleh melakukan peranan kita untuk mengurangkan ancaman tembakau terhadap pembangunan kita.

    “Hidup di Negara Brunei yang bebas tembakau memerlukan semua orang daripada kita untuk memainkan peranan kita.

    “Kita semua jangan lepaskan peluang ini untuk melakukan sesuatu yang positif hari ini bagi diri kita sendiri dan keluarga kita,” tegas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda