Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wujudkan koridor laluan gajah di Kinabatangan

    Oleh Rohana Nasrah

    KOTA KINABALU – HUTAN,  Sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perancis, yang bergiat aktif dalam konservasi hidupan liar dan alam sekitar sedang berkolaborasi dengan dua ladang kelapa sawit yang beroperasi di Kinabatangan bagi mewujudkan projek rintis koridor laluan gajah ke arah mengurangkan  konflik antara manusia dan hidupan liar itu.

    Pengarah HUTAN, Dr Isabelle Lackman berkata kerjasama itu yang juga melibatkan Jabatan Hidupan Liar Sabah  bertujuan memperkasakan kewujudan bersama dengan hidupan liar tersebut sekali gus mempertingkatkan lagi usaha pemuliharaan gajah yang semakin diancam kepupusan.

    Beliau berkata satu daripada ladang kelapa sawit itu telah mempertimbangkan untuk menubuhkan satu koridor yang menghubungkan Lot 2 Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan ke sebuah lagi ladang kelapa sawit terbabit kerana gajah dikenal pasti sering melalui kawasan ladang tersebut.

    Menurutnya, kerjasama berkenaan telah membolehkan projek rintis koridor laluan gajah sepanjang tiga kilometer dengan lebar 100 meter itu dapat diwujudkan. “Koridor laluan rintis ini adalah pertama seumpamanya kerana operasi penuaian kelapa sawit masih akan diteruskan tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat termasuk dalam aspek penggunaan bahan kimia yang dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan gajah,” katanya kepada Bernama.

    Isabelle berkata SOP koridor laluan rintis itu turut merangkumi program latihan untuk para pekerja ladang selain inisiatif menubuhkan pasukan ‘warden gajah’ sebagai persediaan efektif dalam mengendalikan kehadiran haiwan liar di kawasan ladang berkenaan.

    Pengarah HUTAN Dr Isabelle Lockman menunjukkan pelan projek rintis koridor laluan gajah di Kinabatangan kepada wartawan Bernama di pejabatnya. – Bernama

    “Kami berharap penubuhan koridor laluan rintis yang luas ini akan memberi laluan selesa dan selamat untuk gajah. Kami juga berharap gajah akan berada di kawasan koridor dan bukan menggunakan bahagian lain dalam ladang, dan dengan itu, berupaya mengurangkan kerosakan tanaman kelapa sawit,” jelasnya.

    Mengulas lanjut, Isabelle berkata, HUTAN turut melihat pihak pengurusan satu daripada syarikat ladang kelapa sawit terbabit mempunyai visi dan misi untuk mewujudkan suasana kehidupan harmoni serta kewujudan bersama hidupan liar yang terdapat di Sukau, Kinabatangan.

    Hal ini dapat dilihat apabila pihak pengurusan ladang tidak memasang pagar selain membenarkan gajah berkeliaran secara bebas di kawasan ladang kecuali di kawasan penanaman semula pokok kelapa sawit, katanya.

    Berdasarkan data kekerapan pergerakan gajah ke kawasan ladang itu pada tahun lalu, Isabelle berkata, HUTAN merekodkan kira-kira 150 gajah melalui ladang kelapa sawit terbabit untuk mencari makanan.

    Program kesedaran

    “Setakat ini, kami mendapati kerosakan tanaman kelapa sawit disebabkan gajah jauh lebih kecil berbanding sebelum ini. Berkemungkinan ada kerosakan disebabkan gajah, tetapi tidak begitu signifikan,” jelasnya.

    Isabelle berkata ladang kelapa sawit itu turut menganjurkan pelbagai program kesedaran tentang aspek pemuliharaan gajah, tidak hanya untuk kakitangannya tetapi juga dalam kalangan murid sekolah.

    Sementara itu, Isabelle yang turut menjalankan Projek Pemuliharaan Orang Utan Kinabatangan sejak 1998 berkata, orang utan dan monyet spesies Maroon Langurs turut menjadikan ladang kelapa sawit terbabit sebagai laluan untuk menjalani kehidupan.

    Melihat keadaan itu, Isabelle berkata, pihak pengurusan ladang tersebut turut menetapkan seluas 380 hektar untuk penanaman semula pokok hutan asli dalam tempoh lima tahun akan datang bermula tahun ini.

    Ia bagi mewujudkan rangkaian koridor hutan di sepanjang 60 kilometer sungai dan anak sungai yang ada di dalam ladang iaitu kira-kira 325 hektar seterusnya menghubungkan “nilai biodiversiti tinggi” kawasan meliputi sejumlah 56 hektar di mana orang utan betina sudah membina sarang, katanya.

    Dalam pada itu, Isabelle berkata, sekiranya projek rintis koridor laluan gajah di Kinabatangan berjaya, ia tidak mustahil mampu menjadi contoh yang memperlihatkan ladang kelapa sawit juga boleh terlibat secara langsung dalam usaha konservasi hidupan liar.

    Kerjasama antara NGO, saintis, penyelidik dan pengurusan ladang kelapa sawit di Kinabatangan itu juga membuktikan setiap masalah ada penyelesaiannya dalam usaha mewujudkan situasi menang-menang demi masa depan lebih baik, katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda