BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) dan Beep Digital Solutions Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) hari ini untuk membangunkan dan melaksanakan Program Perintis Masyarakat Tanpa Tunai.
Menandatangani bagi pihak AITI ialah Pemangku Ketua Eksekutif, Ir Haji Jailani bin Haji Buntar disaksikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Pembangunan), Dayang Julianah binti Haji Ali Ahmad.Beep Digital Solutions diwakili oleh Pengarah, Haji Malai Faizulrizal bin Haji Malai Ali dan Pengarah, Dzaidenny Muslim sebagai saksi.
Dalam satu kenyataan yang diterima, AITI menjelaskan bahawa selaras dengan objektif strategik mereka untuk melancarkan pembangunan dan inovasi industri digital, program perintis itu akan dilancarkan dalam tempoh enam bulan dengan peruntukan latihan dan insentif kepada tiga pasaran disasarkan, iaitu tempat letak kereta berbayar, kedai dobi layan diri dan kedai runcit yang membenarkan mereka menggunakan sistem bayaran digital untuk transaksi tanpa tunai dalam premis masing-masing. Pemeteraian MoU menandakan permulaan pelaksanaan program ini.
Inovasi dalam bayaran digital telah berkembang pesat tatkala penggunaan kad kredit tanpa kontak, dompet digital, teknologi sesuai dipakai dan pengesahan biometrik menjadi semakin lazim dalam kehidupan harian masyarakat. Pengalaman bayaran telah pun dipertingkatkan untuk menyediakan kesenangan yang lebih serta keselamatan tambahan, membantu membentuk masyarakat lebih pintar dan lebih inklusif.
Kenyataan juga mengatakan kemajuan dalam bayaran tanpa tunai semakin meningkat di Brunei. Tatkala negara terus melaksanakan agenda negara pintar, penggunaan bayaran digital perlu dipercepatkan dalam masyarakat demi mencapai kemajuan besar serta melakukan aktiviti ekonomi digital dengan matlamat mewujudkan masyarakat selamat di luar sistem wang tunai di seluruh negara.
Berdasarkan Kajian e-Dagang untuk Pengguna di Brunei Darussalam yang dijalankan oleh AITI pada 2018, dilaporkan majoriti pengguna e-dagang di Brunei memilih kad kredit atau debit untuk membayar pembelian dalam talian (84 peratus). Sesetengah memilih penggunaan pemindahan bank dalam talian dan e-Wallet, di mana masih segelintir responden (19 peratus) menggunakan bayaran di luar talian atau wang tunai apabila barangan diterima.
Kenyataan menambah dengan aksesibiliti meningkat dalam bayaran tanpa tunai di beberapa perniagaan terpilih menerusi program ini, diharapkan lebih ramai pengguna akan menyertai dalam menggunakan pelbagai bayaran digital yang disediakan di kedai fizikal dan dalam transaksi e-Dagang mereka.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, bolehlah menghubungi AITI di 232 3232 atau menerusi e-mel di info@aiti.gov.bn.
