Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Dalam usaha memberi pendedahan dan kemahiran mengenai usahawan pertanian, seramai 41 orang mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) hari ini menghadiri praktikal Projek Pertanian Sistem dalam Program Pengembangan Potensi Diri (Nadi Pertanian) yang julung kalinya diadakan.
Program selama dua hari yang bermula dengan taklimat kelmarin itu dengan kerjasama AmeenFarm, Kampung Tanjong Bunut itu, mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB dibimbing oleh Pengurus Syarikat AmeenFarm, Haji Irwandi bin Haji Lois.
Semasa praktikal Sistem Fertigasi, mahasiswa dan mahasiswi juga berpeluang membuat praktikal dalam mengisi polybag, menuai buah, praktikal menyemai seterusnya membuat praktikal dalam pengredan dan pembungkusan buah. Penyelia program, Dayang Amshahnoorwadi binti Haji Yakub ketika ditemui menjelaskan, Nadi Pertanian ini merupakan satu program kokurikulum iaitu Program Pengembangan Potensi Diri ke arah melahirkan modal insan yang berjati diri Melayu Islam Beraja.
Selain pelbagai kemahiran secara holistik, berdaya saing, berfikiran kreatif, inovatif dan proaktif seterusnya dapat membantu pelajar dalam menjana ekonomi dengan memupuk budaya keusahawanan.Beliau seterusnya menjelaskan, program ini dapat membantu meningkatkan motivasi dan semangat di kalangan mahasiswa dan mahasiswi mengenai sektor ekonomi dengan mengadakan satu projek pertanian untuk melatih mereka meneroka dunia pertanian secara sampingan.
“Pelaksanaan projek pertanian ini juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mewujudkan generasi usahawan pertanian di masa akan datang kerana ia melibatkan input nilai-nilai keusahawanan supaya mereka lebih berdaya saing, kompetitif dan bersedia memenuhi tanggungjawab,” jelasnya.
Menurutnya lagi,”Projek ini juga adalah sebagai satu langkah untuk menggalakkan dan meningkatkan kemahiran mahasiswa dan mahasiswi dalam bidang keusahawanan pertanian.”
Program ini dihasratkan dapat melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap keperluan masyarakat dan negara seterusnya meningkatkan kemahiran pendidikan sepanjang hayat.
Dengan adanya Nadi Pertanian ini juga dapat merealisasikan pembudayaan keusahawanan pertanian di kalangan mahasiswa dan mahasiswi sebagai generasi muda yang akan berusaha menjadikan pekerjaan usahawan pertanian sebagai kerjaya yang berjaya.
Ini adalah sejajar dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan meningkatkan usaha dalam sektor pertanian moden yang akan mendatangkan hasil mengikut keperluan negara dan juga membantu mengatasi masalah pengangguran.