Sebelum berlakon bersama Aiman Hakim Ridza, aktres Indonesia, Wulandary Herman mengambil inisiatif untuk meminta izin terlebih dahulu daripada isteri aktor berkenaan iaitu Zahirah MacWilson.
Menurut Wulan, 36, langkah itu diambil bagi mengelakkan sebarang ketidakselesaan dan salah faham semasa menjalani penggambaran drama bersiri Bad Cop.
Jelasnya, dia menghubungi Zahirah secara peribadi melalui mesej di Instagram memandangkan mereka saling mengikuti di platform media sosial tersebut.
“Saya kenal isteri Aiman, jadi saya mesej dia di Instagram dan minta izin untuk berlakon bersama Aiman.
“Saya ada banyak babak bersama Aiman, kadang-kadang ada adegan yang sangat dekat yang membuatkan saya malu dan segan.

“Tindakan itu hanya untuk pastikan semua orang rasa selesa,” katanya kepada mStar.
Tambah Wulan, dia pada mulanya agak ragu-ragu sama ada tindakan itu wajar, namun bimbang jika babak yang dilakonkan boleh menyinggung perasaan Zahirah.
Katanya lagi, mereka pernah bertemu dalam beberapa acara sebelum ini dan dia tidak mahu situasi menjadi kekok sekiranya terserempak pada masa akan datang.
“Ini kali pertama saya berlakon di Malaysia tapi secara peribadi, saya tak mahu dianggap tidak menghormati Zahirah jika ada adegan menatap wajah penuh emosi atau memegang tangan.
“Rasanya kekok kalau saya tak cakap apa-apa sedangkan kami kenal. Ia bukan sekadar minta izin, tapi juga soal adab.
“Alhamdulillah dia sangat memahami dan minta saya jangan risau kerana Aiman sudah bercerita mengenainya,” katanya.
Wulan turut menjelaskan perkara sebegini sudah menjadi kebiasaannya ketika berlakon di Indonesia, terutamanya jika digandingkan dengan pelakon lelaki yang sudah berumah tangga. – Agensi