Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Premier Motors Co Sdn Bhd hari ini memperkenalkan kereta Wuling Almaz baharu bagi tahun 2020 di bilik pamerannya di Perindustrian Beribi II, Gadong.
Wuling merupakan sebuah jenama automotif China yang dikendalikan SAIC GM Wuling yang kini sudah berada di Negara Brunei Darussalam.
Hari ini, Wuling mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan tetap dan baharu semasa majlis pengenalan kereta berkenaan.
Almaz yang juga dikenali dengan nama Berlian dalam bahasa Arab dikuasai dengan enjin 4 silinder 1.5 liter berkuasa turbo yang menghamburkan 140 kuasa kuda dan 250Nm tork dengan transmisi automatik jenis CVT yang memacu roda hadapan.
Ciri-ciri yang menarik mengenai Wuling Almaz adalah ia dilengkapi dengan skrin sesentuh 10.4 inci, dan sistem audio Infinity sembilan biji speaker dilengkapi dengan arahan suara untuk spesifikasi tinggi.
Bagi model spesifikasi tinggi sistem Wuling, pemandu hanya boleh menggunakan arahan suara untuk sistem bumbung panaroma, Audio Infinity, penghawa dingin dan banyak lagi.
Selain itu, bahagian hadapan dan sisi menampakkan rekaan yang sempurna bagi sebuah SUV. Rim bersaiz 17 inci itu juga kelihatan sangat sesuai dengan badan kereta yang tinggi.
Selain daripada kelengkapan seperti butang penghidup dan kamera 360 darjah, Wuling Almaz juga mempunyai tujuh tempat duduk sesuai untuk seisi keluarga, dan tersedia dalam enam warna.
Pelanggan tetap dan baharu yang membeli kereta berkenaan juga berpeluang mendapat telefon bimbit iPhone 12 percuma dan tiga tahun khidmat servis percuma. Promosi berkenaan sah sehingga hujung bulan Disember 2020.
Manakala sesi uji pandu juga dibukakan di bilik pameran Beribi dan Daerah Belait untuk pelanggan-pelanggan yang berminat. Untuk mendapat maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh mengunjungi Premier Motors Co Sdn Bhd.

