Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Satu lagi jenama kenderaan dari China, Wuling akan memasuki pasaran Brunei dalam masa terdekat ini menerusi Premier Motor Co Sdn Bhd.
Premier Motor telah dilantik oleh SAIC GM Wuling (SGMW) sebagai pengimport dan pengedar yang sah untuk semua kenderaan Wuling di negara ini, berikutan pelantikan mereka sebagai pengimport dan pengedar untuk MG pada Oktober tahun lalu.
Wuling Sunshine dilancarkan pada tahun 2002 dan menjadi kenderaan mini yang paling cepat berkembang dengan jumlah penjualan tertinggi dalam sejarah segmen kenderaan mini China dengan 5.3 juta unit terjual.
Tidak mengejutkan apabila majalah Forbes menamakan Sunshine sebagai ‘Kereta Paling Penting di Bumi’ dalam edisi Mei 2010.
Wuling terus melabur dan mengembangkan teknologi baharu dalam industri automotif dengan memperkenalkan kenderaan baharu yang berkualiti tinggi dan boleh dipercayai, praktikal serta selamat selain menceburkan diri dalam kenderaan tenaga baharu (NEV).
Wuling Hong Guang Mini EV, sebuah kereta mikro empat tempat duduk pada masa ini mencatatkan penjualan tinggi dan permintaan terhadap kereta berkenaan terus meningkat.
Ia diperkenalkan pada tahun lalu dan kini merupakan kereta mini EV paling laris dengan 50,000 tempahan dengan harga yang mampu milik, ukuran dan prestasi adalah tarikan menarik bagi penduduk bandar yang menginginkan mobiliti cepat dan penyelenggaraan yang rendah.