KUALA LUMPUR, 21 MEI – Persekutuan Wusyu Malaysia (WFM) sedang mencongak mendapatkan khidmat jurulatih dari China, Zhong Yongshen bagi menguatkan skuad wusyu Malaysia sebagai persiapan Sukan Asia 2023 Hangzhou pada September ini.
Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Chong Kim Fatt berkata, hasrat mendapatkan khidmat jurulatih dari Tianjin itu tergantung dan masih menunggu surat tawaran lantikan dikeluarkan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) Malaysia.
Menurutnya, kredibiliti Yongshen sudah terbukti apabila membantu Indonesia meraih 12 pingat emas pada Kejohanan Wusyu Remaja Dunia 2022, justeru bimbang sekiranya dia ‘disambar’ negara lain yang turut berminat mendapatkan khidmatnya.
“Jadi, kita sudah cari individu yang sesuai untuk melatih pasukan wusyu negara dan permohonan yang kami buat pada November lepas itu sudah diluluskan oleh MSN. Cuma, ketika ini kami masih menunggu surat tawaran dikeluarkan.
“WFM harap surat tawaran itu dapat dikeluarkan dengan segera supaya jurulatih ini dapat melatih atlet wusyu seperti Tan Cheong Min untuk persiapan menjelang Sukan Asia nanti,” katanya kepada pemberita pada perasmian Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Kebangsaan 2023 di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Kim Fatt berkata, kehadiran jurulatih itu ke dalam kem wusyu Malaysia memang diharapkan sebagai langkah WFM untuk terus mempamerkan prestasi cemerlang di pelbagai kejohanan pada masa akan datang.
Mengulas mengenai sasaran skuad wusyu Malaysia, beliau yang juga Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Asia 2023 Hangzhou, berkata, belum ada sasaran rasmi namun optimis untuk membawa pulang sebanyak mungkin pingat. – Bernama