Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Bintang wusyu Brunei, Walid Lachkar, terus mencipta sejarah apabila merangkul pingat emas di Kejohanan Wusyu Remaja Dunia ke-9 yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, semalam.
Walid memenangi emas dalam acara Daoshu Lelaki A dengan mengumpul 9.186 mata, mengatasi pesaing terdekat dari Malaysia, Jie Ann Wong, yang meraih perak dengan 9.183 mata. Sementara itu, atlet Hong Kong, Man Lok Ip, membawa pulang gangsa dengan 9.156 mata.
Kejayaan itu menambah lagi koleksi pingat Walid, yang sebelum ini telah meraih perak dalam acara Changquan Lelaki A pada hari pertama kejohanan.
Pingat emas ini juga merupakan emas ketiga buat Brunei di kejohanan remaja dunia yang dianjurkan oleh Persekutuan Wusyu Antarabangsa (IWUF).
Prestasi cemerlang Walid menyusuli kejayaan rakan sepasukannya, Meagan Marie Keasberry dan Samuel Yong Jun Ong, yang masing-masing menyumbang emas dalam acara Taijiquan.

Walid terus mengharumkan nama negara selepas memenangi pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA XXI) dalam acara Daoshu Lelaki tahun ini.
Pingat disampaikan oleh Menteri Pembangunan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, manakala Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, menyampaikan maskot kepada para pemenang.
Selain itu, Brunei terus cemerlang apabila Wan Xin Lim meraih perak dalam acara Nandao Perempuan B dengan 8.850 mata, hanya ketinggalan 0.02 mata di belakang pemenang emas dari Indonesia, Agni Agustine Dimonim, yang mencatat 8.870 mata. Pingat gangsa dimenangi Sana Chek dari Republik Islam Iran dengan 8.816 mata.
Sementara itu, Abel Wee Yuen Lim turut menyumbang pingat gangsa dalam acara Nandao Lelaki A dengan 9.126 mata.
Acara tersebut menyaksikan Lawrence Dean Kurnia dari Indonesia (9.163 mata) meraih pingat emas, manakala pingat perak menjadi milik Guan Sheng Sing dari Malaysia (9.136 mata).

