Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    WWF: Ratusan spesies berisiko pupus di Kanada

    MONTREAL, 23 SEPT – Biodiversiti di Kanada telah menurun sebanyak 10 peratus dalam separuh abad terakhir, dengan ratusan spesies berisiko pupus, menurut laporan World Wildlife Fund (WWF) kelmarin.

    “Secara purata, setiap kumpulan spesies yang dikaji, termasuk burung, ikan, mamalia, reptilia dan amfibia telah otter

    menunjukkan arah perkembangan yang negatif,” kata WWF dalam satu kenyataan semasa melancarkan laporan Living Planet 2025 untuk Kanada.

    Meskipun sesetengah populasi, seperti memerang laut, menunjukkan peningkatan, namun kumpulan pemuliharaan itu berkata sebanyak 52 peratus daripada semua spesies yang dikaji untuk laporan Kanada tahun ini mencatat kemerosotan, termasuk burung hantu salji yang jarang ditemui.

    “Ini adalah kemerosotan paling teruk yang kami perhatikan sejak pelaporan bermula,” tulis Naib Presiden WWF untuk Kanada, James Snider.

    Ikan paus North Atlantic antara spesis haiwan yang terancam dan hampir pupus di Kanada. – AFP

    Spesies yang dinilai secara global sebagai berisiko pupus di Kanada, seperti ikan paus North Atlantic dan penyu belimbing telah menurun sebanyak 43 peratus, tambah laporan itu.

    Wilayah seperti hutan boreal, yang mempunyai populasi manusia lebih rendah, mencatat penurunan lebih kecil, manakala habitat tanah rumput di Kanada mengecut sebanyak 62 peratus.

    Tahun lalu, WWF melaporkan penurunan populasi hidupan liar global sebanyak 73 peratus sejak 1970.

    Pakar pemuliharaan, Jessica Currie, yang terlibat dalam laporan itu, memberitahu AFP, pengurangan habitat terutamanya akibat pengembangan pertanian ‘adalah salah satu punca utama kehilangan biodiversiti.’

    Laporan itu turut menekankan kebergantungan ekonomi Kanada terhadap sumber semula jadi yang luas, namun menegaskan bahawa pemuliharaan perlu menjadi keutamaan dalam pengurusan projek industri atau infrastruktur. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda