Friday, October 4, 2024
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    X Caliber perintis penjagaan kesihatan AI

    YONGIN – Apabila Mozzi, anjing goldendoodle berusia lima tahun mula berjalan secara tidak normal, pemiliknya yang prihatin membawanya ke doktor haiwan di Korea Selatan, di mana masalah itu didiagnosis bukan oleh manusia tetapi kecerdasan buatan (AI).

    Korea Selatan, peneraju global dalam pengeluaran cip yang menjana kuasa AI, telah cepat menerima penggunaan baru teknologi itu.

    Satu satu daripada aplikasinya, “X Caliber”, membantu doktor haiwan menentukan keabnormalan sinar-X dalam beberapa saat, menjadikan diagnostik lebih cepat dan lebih mudah untuk dijelaskan.

    Bacaan AI sinar-X Mozzi menunjukkan goldendoodle berbulu kerinting itu mempunyai 22 peratus kemungkinan terkehel lutut. Walaupun bukan kecemasan, keadaannya memerlukan pengurusan yang teliti untuk mengelakkan pembedahan.

    “Saya tidak akan memahami keputusan itu jika saya tidak melihat nombornya,” kata Mo Jae-hyun, pemilik Mozzi, sambil menambah bahawa program AI membantunya memahami penderitaan yang dihidap haiwan kesayangannya.

    Mozzi yang berusia lima tahun. – AFP
    Oh I-se bersama pembantunya sedang melakukan sinar-X ke atas Mozzi sebelum menggunakan perisian ‘X Caliber’ untuk membantu mengenal pasti anomali sinar-X, di Yongin. – AFP
    Sinar-X Mozzi sebelum perisian ‘X Caliber’ digunakan. – AFP
    Gambar AFP

    “Sudah tentu, saya mempercayai doktor haiwan saya, tetapi melihat hasilnya sendiri, ia kelihatan lebih boleh dipercayai.”

    Pemaju perisian itu, penyedia telekom Korea Selatan SK Telecom, berkata X Caliber mempunyai kadar pengesanan penyakit sehingga 86 peratus.

    Doktor haiwan mengatakan ia telah mentransformasi keupayaan mereka untuk mendiagnosis.

    “Anjing dengan penyakit jantung, sebagai contoh, cenderung mempunyai jantung yang membesar. Kami menggunakan kaedah yang dipanggil VHS (saiz jantung vertebra), yang dahulunya memerlukan pengukuran satu demi satu, secara manual,” Oh I-se, Ketua Pegawai Eksekutif Sky Animal Medical Group, memberitahu AFP.

    Tetapi kini AI boleh mendedahkan hasilnya dalam masa 15 saat, jadi ia “lebih mudah,” kata Oh.

    SK Telecom menganggap X Caliber “permulaan penjagaan kesihatan AI”, kata Joo Ye-seul, pengurus pasukan global perisian itu. “Kami merancang pengembangan selanjutnya ke dalam domain tambahan berdasarkan ini.”

    Perkhidmatan ini sudah tersedia di Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara di Asia Tenggara.

    Di Indonesia, pemilik hospital haiwan Kristanya Oen berkata X Caliber membantu mengatasi kekurangan kepakaran dan kakitangan terlatih.

    “Terdapat kekurangan pakar radiologi di hospital haiwan Indonesia dan bukan mudah untuk menerima pendidikan radiologi di Indonesia, jadi kami memerlukan X Caliber untuk membantu dengan diagnostik kami,” kata Oen kepada AFP.

    SK Telecom ialah sebahagian daripada konglomerat yang sama seperti SK Hynix, yang melancarkan cip memori jalur lebar tinggi yang pertama, semikonduktor canggih yang membolehkan pemprosesan data lebih pantas dan tugas AI generatif yang lebih kompleks.

    Walaupun ramai pakar mempersoalkan hasil pelaburan AI yang mewah berikutan kejatuhan saham teknologi baru-baru ini, ketua pegawai eksekutif konglomerat Chey Tae-won tetap komited.

    Kumpulan SK mesti “berfikir keras tentang produk generasi akan datang,” katanya kepada para pekerja bulan ini.

    Pada bulan Jun, Kumpulan SK mengumumkan rancangan untuk melabur 80 trilion won (AS$60 bilion) dalam cip AI, perkhidmatan dan pusat data.

    Di Korea Selatan, di mana semakin ramai orang beralih menjadi “indung kepada haiwan peliharaan” dan bukannya mempunyai anak, ia tidak menghairankan yang penjagaan kesihatan AI bermula dengan haiwan.

    Di negara yang mempunyai salah satu daripada kadar kelahiran terendah di dunia, pemilikan haiwan peliharaan meningkat kira-kira dua kali ganda dalam dekad yang lalu, angka rasmi menunjukkan.

    Satu daripada empat isi rumah kini mempunyai sekurang-kurangnya seekor rakan berbulu, dan tahun lepas lebih banyak kereta sorong dijual untuk haiwan peliharaan berbanding untuk anak damit manusia di platform e-dagang popular, Gmarket.

    Industri penjagaan haiwan peliharaan dianggarkan bernilai 8 trilion won (AS$6 bilion) pada 2022, peningkatan empat kali ganda berbanding lima tahun sebelumnya.

    Kerajaan menyasarkan untuk menggandakan nilai industri menjelang 2027 dan membantu menyokong perniagaan makanan haiwan dan penjagaan kesihatan melalui pelbagai pinjaman dan insentif cukai.

    Tidak ketinggalan untuk mengikuti trend, syarikat-syarikat Korea Selatan sedang mengusahakan cara baharu untuk menyepadukan AI ke dalam penjagaan haiwan peliharaan, termasuk ‘tandas pintar’ untuk pengesanan awal penyakit urinari dan ‘tali pintar’ yang memantau nadi dan suhu badan.

    “Peranti-peranti yang boleh memantau penyakit ringan hingga teruk dalam kehidupan harian haiwan peliharaan dijangka berkembang,” kata Kim Soo-kyung, pengurus kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi di KPMG Korea. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda