Xavi kembali pulih dari COVID-19

DOHA, 30 JULAI – Bekas bintang Barcelona, ​​Xavi Hernandez (gambar bawah) semalam mengatakan bahawa dia telah pulih dari jangkitan COVID-19, sudah kembali ke rumah dan akan meneruskan tugasnya sebagai ketua jurulatih pasukan Qatar, Al-Sadd.

“Terima kasih banyak atas semua pesanan yang saya terima selama ini,” tulisnya di laman Instagram bersama gambar menunjukkan dia mendukung anak perempuannya.

“Saya ingin berkongsi dengan anda bahawa saya telah pulih dan kini bersama keluarga saya dan pasukan Al-Sadd.”

Xavi, 40, mengumumkan pada Sabtu lalu bahawa dia telah disahkan positif setelah menjalani pemeriksaan rutin pemain dan staf dalam kejohanan bola sepak di Qatar.

Sebanyak 4 peratus daripada 2.75 juta penduduk di Qatar dijangkiti penyakit COVID-19, dengan 110,153 kes dilaporkan sejak wabak ini melanda negara Teluk kecil itu menjadikannya salah satu kadar jangkitan per kapita yang tertinggi.

Walau bagaimanapun, negara yang kaya dengan gas tersebut melaporkan hanya 169 kematian yang bermaksud ia mempunyai salah satu daripada kadar kematian virus terendah di dunia dan 106,849 orang telah pulih dari COVID-19, menurut statistik rasmi.

Xavi terlepas perlawanan kemenangan Al-Sadd 2-1 ke atas Al-Khor, perlawanan pertama mereka sejak liga dimulakan semula yang ditangguhkan pada bulan Mac untuk membendung penularan wabak COVID-19. – AFP