BARCELONA, 4 APRIL – Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez memberi amaran kepada pasukannya hari ini bahawa lawan separuh akhir Copa del Rey mereka, Real Madrid akan datang untuk melancarkan ‘perang bola sepak’ di Camp Nou.
Pasukan Catalan memegang kelebihan 1-0 dari perlawanan pertama dan telah mengalahkan saingan mereka dalam tiga El Clasico terakhir.
“Kemenangan tiga El Clasico terakhir tidak bermakna apa-apa, besok adalah perang bola sepak yang lain,” kata Xavi kepada wartawan.
“Mereka akan datang untuk membalas dendam, mereka akan datang di sini terluka, mereka telah kalah tiga kali berturut-turut. Saya yakin mereka akan datang terluka.”
Barcelona akan kehilangan empat pemain utama yang cedera iaitu Pedri, Ousmane Dembele, Frenkie de Jong dan Andreas Christensen.
“Madrid akan datang besok dan mereka boleh mengalahkan awda dengan sempurna. Mereka boleh melakukannya terhadap mana-mana pasukan,” kata Xavi.
“Mereka mempunyai banyak pengalaman, mereka biasa membuat kebangkitan. Bagi saya, mereka masih menjadi pasukan pilihan.
“Kami lebih baik dalam perlawanan liga dan Piala Super, tetapi kami tidak bernasib baik dalam perlawanan pertama.”
Walaupun jaringan sendiri Eder Militao memberikan kemenangan tipis kepada Barcelona di Santiago Bernabeu, pasukan kendalian Ancelotti mendominasi pasukan Catalan.
Xavi berkata beliau menjangkakan Los Blancos akan mencuba menghalang pasukannya mengawal perlawanan dan memainkan bola sepak yang biasa.
“(Saya menjangkakan) Madrid yang agresif, yang ingin mengambil bola dari kami, menekan kami,” tambah Xavi.
“Kami perlu mempunyai banyak personaliti besok untuk mengawal bola.” – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P22-1a-Xavi_05042023.jpg)