LONDON, 29 MEI – Granit Xhaka menandakan kemungkinan penampilan perpisahannya untuk Arsenal dengan dua gol ketika naib juara Liga Perdana itu menamatkan musim dengan menewaskan Wolves 5-0, kelmarin.
Xhaka dilaporkan akan menyertai kelab Jerman, Bayer Leverkusen pada musim penutup selepas tujuh tahun di utara London.
Jika pemain tengah Switzerland itu meninggalkan Stadium Emirates, dia melangkah dengan cemerlang selepas menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama.
Walaupun pemergian Xhaka yang akan datang masih belum dapat dipastikan, sorakan besar yang menyambut namanya sebelum sepak mula menambahkan lagi perasaan bahawa ia adalah penampilan terakhirnya untuk Arsenal.
Perpisahan penuh mesra dari para penyokong adalah bukti perubahan yang luar biasa dalam karier Xhaka selepas dia memaki hamun penonton semasa perlawanan 2019 dengan Crystal Palace, insiden yang menyaksikan dia dilucutkan jawatan sebagai kapten pasukan.
“Memang layak. Dia mengharungi musim yang luar biasa,” kata Arteta.
“Saya rasa setahun yang lalu saya bercakap dengannya dan saya memberitahunya ‘ada tanda tanya pada awda, awda perlu memberikan lebih banyak, awda perlu menjadi lebih baik’.
“Dia kembali dan dia mula berlatih keesokan harinya. Dia kembali pada pramusim dengan berat badan berkurangan sebanyak empat kilo, cergas, dengan wajah yang fokus serta semangat yang tinggi. Dia telah menunjukkan kecemerlangan yang luar biasa.
“Dia menjadi bahagian penting dalam pasukan, kejayaan pasukan dan saya sangat gembira semua orang menghargai apa yang dia lakukan,” tambahnya.
Bukayo Saka, Gabriel Jesus dan Jakub Kiwior turut menyasarkan untuk memastikan anak buah Mikel Arteta melangkah ke luar musim dengan semangat yang memberangsangkan selepas gagal memburu kejuaraan. – AFP