SEOUL, 2 Nov – Presiden China Xi Jinping telah menghantar mesej luar biasa kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un, lapor agensi berita rasmi Pyongyang hari ini, dalam perhubungan terbuka pertama beliau dalam tempoh lebih setahun dengan jiran tidak terkawalnya itu.
Mesej itu memperlihatkan kemungkinan peningkatan dalam hubungan mereka yang tegang, yang terjejas ekoran cita-cita senjata Pyongyang yang semakin berkembang meskipun Beijing adalah sekutu lamanya dan penyumbang ekonominya.
Mesej Xi, bertarikh semalam telah dihantar dalam respons kepada utusan tahniah dari Kim minggu lalu kerana dilantik sebagai ketua parti memerintah China bagi penggal kedua.
“Saya berharap dengan situasi baru di pihak China akan menjadikan usaha-usaha dengan pihak DPRK untuk meningkatkan hubungan antara kedua-dua pihak dan kedua-dua negara kepada perkembangan yang stabil dan sempurna,” kata Xi, menurut agensi berita KCNA, Korea Utara, yang memanggil Kim sebagai ‘Pengerusi Komrad’.
Dalam mesej beliau sebelumnya, Kim mengutus ucapan ‘tahniah ikhlas’ kepada Xi dan melahirkan rasa percaya beliau bahawa hubungan mereka akan berkembang demi kepentingan rakyat kedua-dua negara. – AFP