Sunday, June 30, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Xi bertemu PM Vietnam

    BEIJING, 27 JUN – Presiden China, Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh hari ini.

    Xi berkata China ingin bersama Vietnam mengekalkan perpaduan dan persahabatan, teguh menyokong satu sama lain sambil memperdalam kerjasama yang saling menguntungkan.

    China juga sedia berganding tangan dengan Vietnam dalam menuju pemodenan sekali gus membuat sumbangan lebih besar kepada keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran dunia.

    Beliau menekankan perlunya kedua-dua pihak mengekalkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, memantapkan kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) secara berkualiti tinggi, meningkatkan kesalinghubungan dan mendorong pembangunan berkualiti kerjasama pragmatik.

    Xi berkata China menggalakkan lebih banyak syarikat domestik meningkatkan pelaburan di Vietnam dan berharap agar Vietnam dapat menyediakan persekitaran perniagaan yang adil tanpa diskriminasi untuk syarikat China.

    Kedua-dua pihak disaran menyokong pemerkasaan pertukaran antara wilayah sempadan, melaksanakan projek kebajikan rakyat membabitkan pertanian, pendidikan dan perubatan, di samping memanfaatkan pelbagai platform pertukaran sesama rakyat serta belia untuk mengukuhkan sokongan awam terhadap persahabatan China-Vietnam.

    Beliau menambah kedua-dua pihak harus menangani isu maritim dengan baik, menggerakkan penerokaan bersama laut dan bersinergi memelihara ketenteraman serantau.

    Sementara itu, Chinh berkata pengukuhan kesalingpercayaan strategik dan kerjasama pragmatik dengan China serta pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama negara merupakan keutamaan serta pilihan strategik dalam dasar luar Vietnam.

    Vietnam sedia bersinergi dengan China untuk menggalakkan pertukaran sesama golongan belia, memperkukuh koordinasi multilateral, menangani perbezaan pendapat secara baik dan menggerakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib yang membawa erti strategik. – Bernama

    Xi Jinping (kiri) bercakap semasa pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Vietnam di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada 26 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...