Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Xi gesa APEC bersatu hadapi cabaran serantau

    LIMA, 17 NOV – Presiden China Xi Jinping semalam menyeru agar ekonomi Asia Pasifik ‘bersatu dan bekerjasama’ ketika menghadapi ‘dasar perlindungan’ yang semakin meningkat pada sidang kemuncak di Peru.

    Bercakap kepada pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) beberapa jam sebelum beliau dijadualkan mengadakan rundingan dengan rakan sejawatan Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, Xi merujuk kepada ‘cabaran seperti geopolitik, unilateralisme dan peningkatan faham perlindungan.’

    “Kita mesti bersatu dan bekerjasama,” tambahnya, dalam kenyataan yang diterbitkan oleh penyiar negara China CCTV.

    Pertemuan Xi yang dirancang dengan Biden diadakan dua bulan sebelum calon Presiden Republik Donald Trump yang terlibat dalam perang tarif yang meningkat dengan Beijing semasa penggal pertamanya sebagai Presiden – kembali ke Rumah Putih pada Januari.

    Semasa kempen kali ini, Trump telah berikrar akan melancarkan beberapa siri dasar perdagangan bersifat perlindungan termasuk tarif menyeluruh ke atas semua import dan terutamanya levi tinggi ke atas China.

    Presiden Joe Biden berjabat tangan dengan Presiden China Xi Jinping sebelum mesyuarat dua hala di Lima, Peru pada 16 November. – AP

    Semalam, Xi menggesa anggota APEC untuk berdiri teguh dalam dasar berbilang hala dan ekonomi terbuka sementara mengembangkan integrasi serantau.

    Beliau menyokong usaha mewujudkan kawasan perdagangan bebas Asia Pasifik yang telah diusahakan selama bertahun-tahun dan berkata Beijing bersedia untuk merundingkan perjanjian perdagangan dalam sektor digital dan hijau.

    Xi, yang negaranya akan menjadi tuan rumah APEC pada 2026, juga menggesa kerjasama yang lebih besar dalam bidang utama seperti kecerdasan buatan dan maklumat kuantum.

    China, ekonomi kedua terbesar dunia, telah bergelut dengan cabaran daripada krisis perumahan yang berpanjangan kepada penggunaan lembap dan hutang kerajaan tempatan.

    Negara ini menyasarkan pertumbuhan tahunan sebanyak lima peratus tahun ini, tetapi ramai pakar menganggap sasaran tersebut sukar dicapai memandangkan cabaran ekonomi yang dihadapinya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda