Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Xi gesa kempen bangunkan infrastruktur China

    BEIJING, 27 APRIL – Presiden China Xi Jinping menggesa kempen ‘habis-habisan’ untuk membangunkan infrastruktur, menurut media negeri, menandakan usaha terbaharu pemimpin negara untuk merangsang pertumbuhan dalam ekonomi yang terkesan COVID.

    Meskipun bergelut untuk membendung wabak paling teruk negara dalam dua tahun, para pemimpin telah melaksanakan dasar sifar COVID yang membabitkan penutupan bandar terbesar dan ujian besar-besaran.

    Namun langkah tersebut telah mengganggu rantaian bekalan dan menjejaskan sentimen perniagaan, justeru mencetuskan gelombang kejutan kepada ekonomi dan pasaran global.

    “Infrastruktur merupakan sokongan penting untuk pembangunan ekonomi dan sosial,” kata Xi pada mesyuarat peringkat tinggi semalam, menurut agensi berita Xinhua.

    Infrastruktur China masih tidak setanding dengan permintaan untuk pembangunan dan keselamatan negara,” kata Jawatankuasa Pusat untuk Hal Ehwal Kewangan dan Ekonomi.

    Seorang pekerja bersedia menyeberangi jalan di luar tapak pembinaan di Beijing. – AFP

    Mesyuarat itu mengenal pasti beberapa sektor seperti pengangkutan dan tenaga di mana rangsangan infrastruktur diperlukan, termasuk pembinaan pelabuhan dan lapangan terbang.

    Sekatan terbaharu telah menjejaskan rantaian bekalan dan rangkaian pengangkutan – termasuk di pusat ekonomi Shanghai dan Shenzhen serta kawasan bijirin Jilin.

    Komen Xi adalah yang terbaharu dalam beberapa siri kenyataan dan langkah bertujuan merangsang keyakinan dalam ekonomi dan memberikan jaminan kepada pasaran.

    Selepas krisis kewangan 2008, Beijing melancarkan pakej perangsang bernilai ratusan bilion dolar – termasuk pelaburan infrastruktur besar-besaran – tetapi menambah hutang kepada kerajaan tempatan dan perusahaan negeri.

    Dengan risiko penggunaan dan eksport pengeluaran, ‘inisiatif untuk menambah perbelanjaan infrastruktur merupakan alat dasar untuk menambah perbelanjaan kerajaan,’ kata Rajiv Biswas, ahli ekonomi Asia Pasifik di S&P Global Market Intelligence. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...