BEIJING, 20 DIS – Presiden China, Xi Jinping berkata hari ini mengekalkan hubungan erat dengan Rusia merupakan satu ‘pilihan strategik’, menggesa kerjasama dua hala yang lebih mendalam semasa pertemuan dengan Perdana Menteri, Mikhail Mishustin di Beijing, lapor media kerajaan.
Hubungan kukuh antara kedua-dua buah negara, yang bertahan walaupun pencerobohan tentera Rusia ke atas jirannya, Ukraine pada awal 2022, telah menerima kritikan daripada pemimpin Barat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Mengekalkan dan membangunkan hubungan China-Rusia adalah pilihan strategik yang dibuat oleh kedua-dua belah pihak berdasarkan kepentingan asas kedua-dua rakyat,” kata Xi kepada Mishustin hari ini di Dewan Besar Rakyat Beijing, lapor penyiar negara China, CCTV.
Xi menambah negara-negara perlu meningkatkan kesan positif dalam hubungan politik secara berterusan di peringkat tinggi, dan kerjasama yang mendalam dalam bidang ekonomi, perdagangan, tenaga, kesaling-hubungan dan bidang lain”, kata CCTV.
Mishustin berkata semalam semasa perbincangan dengan rakan sejawatannya, Perdana Menteri, Li Qiang bahawa hubungan antara Moscow dan Beijing selama ini telah mencecah ‘peringkat tinggi’, menurut warta yang diterbitkan oleh kedua-dua pihak.
Lawatan Mishustin ke China dua hari lalu diadakan dua bulan selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin, membuat lawatan yang jarang di luar Rusia untuk bertemu Xi dan sebulan selepas seorang jeneral kanan China mengunjungi Moscow. – AFP


