PHNOM PENH, 18 APRIL – Presiden China, Xi Jinping, hari ini menamatkan lawatan negara selama dua hari ke Kemboja, sekali gus melengkapkan jelajah tiga negara yang turut merangkumi Vietnam dan Malaysia, ketika ketiga-tiga negara Asia Tenggara itu berdepan cabaran ekonomi akibat cadangan tarif baharu oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dalam tempoh sedekad lalu, China giat memperluaskan pengaruhnya di rantau ini, terutamanya dengan memanfaatkan kelebihan ekonominya yang besar. Ketika dasar tarif Trump mengancam ekonomi serantau yang bergantung kepada pasaran eksport di mana AS menjadi destinasi utama Beijing pula tampil sebagai sumber kestabilan dan kepastian.
Kemboja merupakan antara negara yang paling terkesan dengan kadar tarif balas yang dicadangkan oleh Washington. Selain tarif universal sebanyak 10 peratus yang dicadangkan Trump, eksport Kemboja ke AS berpotensi dikenakan tarif sehingga 49 peratus sebaik sahaja tempoh penangguhan selama 90 hari tamat. Vietnam bakal berdepan tarif sebanyak 46 peratus dan Malaysia 24 peratus.
“Masa lawatan ini sangat signifikan untuk China, apatah lagi ia berlangsung sejurus selepas pengumuman tarif Trump yang telah mencetuskan kebimbangan di Kemboja dan Vietnam… serta kegelisahan di Malaysia,” kata Astrid Norén-Nilsson, pensyarah kanan dalam Pengajian Asia Tenggara Kontemporari di Universiti Lund, Sweden, dalam satu temu bual melalui e-mel kelmarin. “Xi Jinping kini dapat melaksanakan lawatan ini dengan membawa imej sebagai rakan sejati yang konsisten dan rakan dagang yang boleh dipercayai.” – AP
