Monday, March 31, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Xi Jinping bertemu Muhammad Yunus di Beijing

    BEIJING, 28 MAC – Presiden China Xi Jinping bertemu dengan pemimpin Bangladesh, Muhammad Yunus, di Beijing hari ini, lapor media negara, ketika hubungan dingin Dhaka dengan negara jiran India mendorong pentadbiran negara itu untuk mencari sekutu baharu.

    Yunus mengambil alih kepimpinan Bangladesh pada Ogos lalu, selepas kejatuhan bekas Perdana Menteri autokratik Sheikh Hasina, yang melarikan diri ke New Delhi selepas pemberontakan pimpinan kumpulan pelajar.

    Pemenang Hadiah Nobel berusia 84 tahun itu berlepas ke Beijing pada Rabu dan bertemu dengan Xi hari ini, lapor agensi berita negara China, Xinhua, tanpa memberikan butiran lanjut.

    Yunus dijangka kembali ke Bangladesh esok, selepas mengadakan beberapa pertemuan peringkat tinggi di bandar China itu.

    India merupakan penyokong terbesar kerajaan Hasina, dan kejatuhannya telah menyebabkan hubungan rentas sempadan menjadi tegang.

    Xi Jinping mesyuarat dengan sekumpulan eksekutif asing di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada 28 Mac 2025. – AP

    Pegawai tertinggi Kementerian Luar Bangladesh berkata pada Selasa Bangladesh sedang ‘menghantar mesej’ dengan pilihan Yunus untuk mengadakan lawatan negara pertamanya ke China.

    Beberapa perjanjian dijangka akan ditandatangani mengenai bantuan ekonomi dan teknikal, kerjasama budaya dan sukan serta kerjasama media antara kedua-dua negara, menurut pentadbiran Bangladesh.

    Perbincangan juga dijangka akan menyentuh mengenai populasi besar pelarian Rohingya di Bangladesh, yang kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras tentera yang kejam di Myanmar pada tahun 2017.

    China telah bertindak sebagai perantara antara Bangladesh dan Myanmar pada masa lalu untuk membroker kepulangan kumpulan minoriti yang tertindas, walaupun usaha itu menemui kebuntuan kerana keengganan Myanmar menerima mereka. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda