ASTANA, 17 JUN – Presiden China, Xi Jinping telah dijadualkan untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin Asia Tengah dalam satu sidang kemuncak di Kazakhstan hari ini.
Lawatan itu merupakan kunjungan kedua beliau ke rantau itu dalam tempoh kurang setahun ketika Beijing bersaing dengan Rusia untuk mengembangkan pengaruh di sana.
Sidang kemuncak yang berlangsung di bandar Kazakhstan itu menghimpunkan Xi, yang tiba di Astana kelmarin, bersama pemimpin dari Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Tajikistan dan Turkmenistan.
Kelima-lima negara Asia Tengah itu pernah berada di bawah pengaruh Rusia sehingga kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991.
Sejak mencapai kemerdekaan, mereka mula menarik perhatian kuasa besar termasuk China dan Amerika Syarikat (AS).

Walaupun pemimpin Asia Tengah masih menganggap Rusia sebagai rakan strategik, hubungan dengan Moscow menjadi semakin dingin sejak tercetusnya perang di Ukraine.
Kelima-lima negara itu kini mengambil kesempatan terhadap minat yang semakin meningkat terhadap rantau mereka dengan menyelaras dasar luar secara bersama.
Negara-negara tersebut juga kerap me-ngadakan sidang kemuncak bersama China dan Rusia untuk menampilkan diri sebagai satu blok yang bersatu serta menarik pelaburan asing.
Format perbincangan berprofil tinggi ‘5+1’ turut dianjurkan bersama Kesatuan Eropah, AS, Turkiye dan negara-negara Barat lain.
“Negara-negara rantau itu sedang mengimbangi pengaruh antara kuasa-kuasa besar bagi mengelak pergantungan berlebihan kepada satu pihak sahaja,” beritahu ahli sains politik Kyrgyzstan, Nargiza Muratalieva kepada AFP.
China turut menempatkan dirinya sebagai penyokong kepada kepimpinan autoritarian di Asia Tengah.
Dalam sidang kemuncak terdahulu antara Asia Tengah dan China, Xi menyeru untuk ‘menentang campur tangan luar’ yang boleh mencetuskan ‘gerakan politik dan revolusi’ untuk menggulingkan pemimpin sedia ada. – AFP