KUALA LUMPUR, 16 APRIL — Presiden China, Xi Jinping, bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, hari ini dalam satu lawatan negara yang menurut penganalisis bertujuan mengukuhkan imej Beijing sebagai rakan yang boleh dipercayai dan bukan kuasa hegemoni.
Xi memulakan lawatan Asia Tenggara minggu ini, yang telah membawanya ke Vietnam dan seterusnya ke Kemboja, dalam usaha Beijing menonjolkan dirinya sebagai alternatif stabil, berbanding dasar tarif bersifat menghukum yang diterajui oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ketibaan Xi disambut dengan penuh adat istiadat diraja dalam satu upacara berwarna-warni di Istana Negara yang berkubah emas, di mana beliau berjalan di atas karpet merah sambil memeriksa barisan kawalan kehormatan di perkarangan istana, diiringi alunan muzik oleh pancaragam diraja Malaysia.
Selepas mengadakan pertemuan rasmi bersama Yang di-Pertuan Agong, Xi dijadualkan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bakal menjadi tuan rumah jamuan malam di Putrajaya.
Menurut Kementerian Luar Negeri Malaysia, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian dua hala.

“Lawatan ini bukan sekadar soal persahabatan, ia lebih kepada usaha menyusun semula pusat graviti serantau ke arah Beijing,” kata Khoo Ying Hooi, Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya.
Beliau memberitahu AFP bahawa lawatan Xi merupakan satu langkah terancang untuk “menguji kesediaan solidariti serantau pada ketika langkah-langkah perdagangan AS sedang mengganggu pasaran global.”
Negara-negara anggota ASEAN antara yang paling terkesan dengan tarif AS, yang dilihat berisiko menjejaskan hubungan mesra Washington dengan sekutu-sekutunya.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, turut terkesan walaupun kadar tarif yang dikenakan lebih rendah berbanding beberapa negara lain. Vietnam, sebagai kuasa pengeluar utama, dikenakan tarif sebanyak 46 peratus manakala Kemboja — pengeluar utama pakai-an kos rendah untuk jenama-jenama Barat — dikenakan tarif sebanyak 49 peratus. Malaysia pula dikenakan tarif sebanyak 24 peratus.
China dan Malaysia meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lalu, dan kedua-duanya mempunyai hubungan dagangan yang kukuh, walaupun Malaysia turut menuntut sebahagian kawasan di Laut China Selatan yang turut dituntut oleh Beijing secara meluas. – AFP