PHNOM PENH, 17 APRIL – Presiden China, Xi Jinping, tiba di ibu negara Kemboja, Phnom Penh, hari ini, menamatkan lawatan tiga negara di Asia Tenggara, menurut siaran langsung oleh stesen milik kerajaan China, CGTN.
Ketibaan Xi di Phnom Penh berlaku selepas beliau mengunjungi Vietnam dan Malaysia dalam usaha Beijing untuk mengukuhkan hubungan dagangan serantau serta mengurangkan kesan tarif besar yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Setibanya di Phnom Penh hari ini, Xi disambut oleh Raja Norodom Sihamoni dalam satu upacara sambutan rasmi ketenteraan.
Menurut jadual rasmi yang diperoleh AFP, Xi dijadualkan mengunjungi istana pada petang Khamis sebelum mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Hun Sen dan Perdana Menteri semasa, Hun Manet, yang juga anak beliau.
Dalam sebuah artikel tulisan Xi yang diterbitkan oleh agensi berita milik kerajaan Kemboja, Fresh News, pada hari ini, beliau menegaskan sokongan China terhadap keputusan Kemboja untuk memilih jalan pembangunan yang sesuai dengan keadaan negara, mempertahankan kedaulatan, kemerdekaan dan keutuhan wilayahnya.

Xi turut menyatakan bahawa kedua-dua negara perlu “bertegas menentang campur tangan kuasa luar dalam hal ehwal dalaman, percubaan memecah-belahkan dan merosakkan hubungan sedia ada”.
China merupakan rakan dagang terbesar dan pelabur utama Kemboja, malah lebih satu pertiga daripada hutang luar negara Kemboja yang berjumlah AS$11 bilion adalah kepada China, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Phnom Penh merupakan antara sekutu paling setia Beijing di Asia, dan Hun Manet pada Rabu menggambarkan lawatan Xi sebagai simbolik kepada persahabatan ‘sekuat besi’ antara kedua-dua negara.
Dalam satu video yang dimuat naik kelmarin, Hun Manet menyatakan bahawa kedua-dua negara mempunyai kepentingan bersama berasaskan prinsip menghormati kedaulatan, kesaksamaan dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman.
Beliau turut menambah bahawa China memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi Kemboja. – AFP