KUALA LUMPUR, 7 MEI – Presiden China, Xi Jinping berpuas hati dan menzahirkan rasa gembira terhadap lawatan negaranya ke Malaysia bulan lepas.
Beliau turut menyifatkan lawatannya itu sebagai amat berjaya, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurut Mohamad, maklum balas itu disampaikan kepada beliau oleh Kementerian Luar China baru-baru ini.
“Tahniah kepada semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Latih Amal Keselamatan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur, hari ini.
Lawatan negara tiga hari Xi atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bulan lepas menandakan kunjungan rasmi kedua pemimpin Negara Tembok Besar itu ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013.

Selain diberikan sambutan negara di Istana Negara, Xi turut diraikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Lawatan itu menyaksikan pertukaran 31 dokumen termasuk Memorandum Persefahaman (MoU), perjanjian dan nota persefahaman bagi memperkukuh kerjasama, sekali gus menandakan lembaran baharu hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata Mesyuarat Kabinet hari ini turut mendengar cadangan supaya satu bangunan persidangan bertaraf antarabangsa diwujudkan di Bandar Malaysia, di Kuala Lumpur.
Beliau berkata cadangan itu dikemukakan kerana Malaysia mungkin terlibat dalam pelbagai penganjuran acara bertaraf antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang dan bangunan KLCC sudah lama dan perlu difikir kesesuaian dari segi keselamatan.
Malaysia turut membida untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Komanwel, katanya. – Bernama