INNER MONGOLIA, 7 JUN – Presiden Xi Jinping mahu China terus meningkatkan usaha untuk mencegah hakisan tanah dan memastikan penghijauan kawasan gurun sehingga keajaiban baharu dapat diwujudkan.
Beliau berkata usaha itu memerlukan langkah bersepadu semua pihak terlibat, di samping memantapkan pelaksanaan program Jalur Pelindung Hutan Three-North di barat laut, utara dan timur laut China.
Xi berkata demikian semasa melakukan tinjauan selama dua hari mulai Isnin di bandar Bayannur.
Menurut beliau, usaha itu berkait rapat dengan keselamatan ekologi, pembinaan negara yang kuat serta pembangunan mampan bangsa dan ia juga disifatkan sebagai perjuangan murni berikutan sumbangannya untuk masa kini dan juga masa depan.
Xi turut menzahirkan harapan agar benteng perlindungan ekosistem berkenaan dapat diperkukuh, sekali gus beroleh pencapaian yang lebih besar dalam usaha membina China yang indah.
“Untuk itu, China akan memperhebat pertukaran dan kerjasama anta-rabangsa secara menyeluruh bagi melaksanakan Konvensyen Mengatasi Penggurunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), terlibat dalam penanganan penggurunan, mengintensifkan kerjasama dengan negara jiran, mendukung negara Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dalam pencegahan hakisan tanah dan penghijauan di kawasan gurun, mendorong pelbagai negara dalam dialog dasar dan kongsi maklumat bagi menghadapi bencana ribut pasir,” kata beliau, kelmarin.
Dalam lawatannya ke wilayah autonomi China, Xi telah meninjau ke zon perlindungan alam, zon rintis pertanian moden, padang hutan dan jabatan pengairan. – Bernama