GUIYANG, 19 MAC – Provinsi Guizhou perlu meneruskan usaha ke arah mewujudkan pembangunan berkualiti tinggi, di samping menjana pertumbuhan menerusi pemerkasaan pembaharuan dan pintu terbuka secara komprehensif.
Perkara itu ditekankan oleh Presiden China, Xi Jinping semasa tinjauan selama dua hari ke provinsi Guizhou bermula Isnin lalu.
Beliau mahu Guizhou melipatgandakan usaha inovasi bagi memacu pembangunan sambil mempercepat transformasi dan penaiktarafan industri tradisional.
Provinsi itu juga hendaklah giat mengembangkan industri baru muncul yang bersifat strategik serta memacu sektor ekonomi digital dan tenaga baharu.
Xi turut menekankan perlunya Guizhou melindungi alam sekitar dengan baik dan mengoptimumkan kelebihan ekologi untuk menjana pembangunan.
Beliau berkata kedinamikan pembangunan sesebuah tempat adalah berkait rapat dengan iklim perniagaannya.
Oleh itu, Guizhou perlu aktif mengintegrasikan diri dalam pembinaan pasaran domestik yang bersatu dan berusaha mewujudkan iklim perniagaan yang mantap, adil, telus dan boleh diramal. – Bernama
