MOSCOW, 22 MAC – Pemimpin China dan Rusia memuji era baharu dalam hubungan mereka hari ini, mempamerkan perpaduan di Moscow ketika Vladimir Putin menuduh Barat menolak cadangan Beijing untuk menamatkan konflik di Ukraine.
Negara tersebut, yang tidak sabar untuk mengekang kuasa Barat, menyatakan kebimbangan mengenai pengembangan NATO di Asia dan bersetuju untuk memperdalam perkongsian yang semakin rapat sejak Putin melancarkan serangan di Ukraine.
Putin berkata beliau bersikap terbuka terhadap perbincangan mengenai Ukraine dan memuji 12 perkara kertas dasar dikemukakan Beijing mengenai konflik itu, yang termasuk seruan untuk dialog dan menghormati kedaulatan wilayah semua negara.
Beliau menuduh Kyiv enggan melaksanakan cadangan China, yang dikatakan oleh Amerika Syarikat hanya akan menyatukan penaklukan Rusia dan membolehkan Kremlin melancarkan serangan baharu.
“Banyak peruntukan pelan damai yang dikemukakan oleh China boleh diambil sebagai asas untuk penyelesai-an aman apabila Kyiv dan Barat bersedia menerimanya,” kata Putin selepas perbincangan dengan pemimpin China, Xi Jinping.
“Bagaimanapun, setakat ini kami tidak melihat kesediaan sedemikian di pihak mereka.”
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata Kyiv telah menjemput China untuk berbincang, dan sedang menunggu jawapan daripada Beijing.
“Kami menawarkan China untuk menjadi rakan kongsi dalam pelaksanaan formula keamanan. Kami telah meluluskan formula kami di semua saluran. Kami menjemput awda untuk berdialog. Kami sedang menunggu jawapan awda,” kata Zelensky pada sidang akhbar kelmarin. – AFP
