Saturday, February 22, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Xi rai ulang tahun ke-25 penyerahan Macau kepada China

    MACAU, 18 DIS – Presiden China, Xi Jinping memuji ‘kejayaan Macau yang diiktiraf di peringkat dunia’ ketika tiba di wilayah itu hari ini bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari sempena sambutan ulang tahun ke-25 penyerahan Macau kepada China.

    Negara bekas jajahan Portugal itu diserahkan kepada China pada 20 Disember 1999 di bawah dasar‘Satu Negara, Dua Sistem’ yang menjanjikan autonomi dan kebebasan sivil lebih meluas berbanding tanah besar China.

    Dalam kenyataannya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau, Xi berkata prinsip ‘Satu Negara, Dua Sistem’ dengan ciri-ciri tersendiri Macau telah menunjukkan kejayaan besar.

    “Sepanjang 25 tahun lalu, prinsip ini telah mencapai kejayaan yang diiktiraf di peringkat dunia dan memperlihatkan daya hidup serta daya tarikan yang unik,” katanya.

    Xi, yang kali terakhir melawat Macau pada 2019, berkata beliau akan memanfaatkan lawatan itu untuk menyambut ulang tahun penting bersama penduduk Macau sambil meninjau perkembangan dan perubahan terkini di wilayah berkenaan.

    “Dalam beberapa hari akan datang, saya akan melawat pelbagai lokasi, mengadakan perbincangan menyeluruh dengan pelbagai pihak, dan merancang masa depan pembangunan Macau,” katanya.

    Macau, satu-satunya wilayah di China yang membenarkan perjudian kasino, telah lama mendahului Las Vegas sebagai hab kasino terbesar dunia, dipacu oleh perbelanjaan pengunjung dari China selama lebih dua dekad.

    Semasa lawatan, Xi dijangka menghadiri majlis perasmian pentadbiran baharu Macau dan ‘lawatan pemeriksaan’, menurut laporan agensi berita Xinhua. – AFP

    Xi semasa menyampaikan ucapan di Sanya, Hainan, selatan China, pada 17 Disember. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda