Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Xi seru bina rangkaian global untuk kerjasama antara tamadun

    BEIJING, 11 JULAI – Presiden China, Xi Jinping menyatakan kesediaan negaranya untuk bekerjasama dengan pelbagai negara dalam membina satu rangkaian global bagi memupuk dialog dan kerjasama antara tamadun.

    Kenyataan itu disampaikan dalam surat tahniah beliau sempena Mesyuarat Peringkat Menteri Dialog Tamadun Global yang dirasmikan di Beijing kelmarin.

    Xi berkata, sejarah membuktikan bahawa pertukaran dan pembelajaran bersama antara tamadun merupakan faktor penting dalam mewujudkan kemakmuran tamadun dan peradaban manusia.

    Beliau menegaskan bahawa ketika dunia bergelut dengan transformasi dan ketidaktentuan, masyarakat antarabangsa yang kini berada di persimpangan baharu amat memerlukan interaksi dan saling memahami untuk merapatkan jurang serta mengelakkan konflik.

    Dalam hal ini, Xi berkata China bersedia bekerjasama dengan pelbagai negara untuk menjunjung tinggi nilai-nilai tamadun berasaskan prinsip kesamarataan, saling belajar, dialog dan keterangkuman.

    Menerusi pelaksanaan Inisiatif Peradaban Global, China berhasrat memacu kemajuan tamadun manusia, serta menyumbang kepada keamanan dan pembangunan dunia, katanya.

    Xi turut menyatakan harapan agar para perwakilan yang hadir dapat bertukar pandangan sepanjang persidangan, seterusnya mencapai kesepakatan bagi menyumbang idea dan tenaga dalam merapatkan persefahaman antara masyarakat serta mewujudkan keharmonian dalam kepelbagaian tamadun.

    Untuk rekod, Mesyuarat Peringkat Menteri Dialog Tamadun Global yang bertemakan “Safeguarding Diversity of Human Civilizations for World Peace and Development” menarik penyertaan lebih 600 tetamu dari 140 negara dan wilayah. – Bernama/Cmg

    Xi Jinpin menyatakan China bersedia bina rangkaian global untuk kerjasama antara tamadun. – Gambar fail Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda