Thursday, January 23, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Xi tinjau keadaan mangsa banjir Liaoning

    HULUDAO, 23 Jan — Presiden China, Xi Jinping melawat mangsa banjir di sebuah kampung di Provinsi Liaoning, timur laut China kelmarin.

    Lawatan Xi ke Kampung Zhujiagou, Kaunti Suizhong di Bandar Huludao diadakan sempena Tahun Baharu China (TBC), perayaan paling penting bagi rakyat China, yang akan disambut pada 29 Januari nanti.

    Xi diberi taklimat mengenai pembangunan semula pasca bencana, melawat rumah baharu penduduk, sambil melihat sendiri kualiti rumah yang dibina semula, jaminan kehidupan seharian dan perkembangan yang lain.

    Untuk rekod, pada Ogos tahun lepas, bandar Huludao dilanda hujan lebat yang jarang berlaku dalam sejarah sehingga menyebabkan banjir teruk.

    Zhujiagou yang terletak di kawasan pergunungan dan kawasan tanah rendah merupakan antara  kampung paling teruk terjejas akibat banjir itu.

    Selepas banjir, kampung itu membina rumah baharu untuk 41 keluarga yang paling teruk terjejas. Rumah baharu dibina hampir 40 meter lebih tinggi berbanding rumah lama.

    Lawatan ke Liaoning kali ini merupakan tinjauan pertama Presiden Xi pada tahun ini, dan ia juga tradisi beliau untuk menziarahi dan menyantuni penduduk serta pegawai di peringkat akar umbi menjelang perayaan TBC sejak beliau menyandang Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) 13 tahun lepas. – Bernama

    Xi Jinping bertemu dengan penduduk kampung di Kampung Zhujiagou, Daerah Suizhong Kota Huludao, Wilayah Liaoning kelmarin. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda