Monday, July 28, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Xiaomi buka cawangan utama Asia Tenggara terbesar

    KUALA LUMPUR, 27 JULAI – Xiaomi secara rasmi telah membuka cawangan terbesarnya di Asia Tenggara di The Exchange TRX di Kuala Lumpur, mengukuhkan kehadiran model perniagaan runcit baharunya di Malaysia.

    Pengurus Negara Xiaomi Malaysia, Eddie Huang berkata kedai baharu itu merupakan cawangan utama kedua jenama itu di negara ini dan susulan kejayaan kedai runcit pertamanya di pusat beli-belah IPC, Mutiara Damansara, Selangor.

    “Selepas kejayaan kedai runcit IPC Shopping Center, kami teruja untuk menyediakan pengalaman runcit yang lebih holistik kepada pelanggan kami dengan pembukaan cawangan kedua ini.

    “Kedai ini mencerminkan misi kami untuk menjadikan teknologi inovatif terkini boleh diakses oleh semua orang. Ia juga membuktikan komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman pelanggan melalui reka bentuk menarik dan perkhidmatan pelanggan yang luar biasa.

    “Kami berbangga untuk melancarkannya di sini di Malaysia, pasaran utama yang terus memberi inspirasi kepada pertumbuhan Xiomi,” katanya dalam satu kenyataan.

    Huang berkata cawangan di The Exchange TRX menawarkan rangkaian produk Xiaomi terbesar di Malaysia dengan lebih daripada 250 unit penyimpanan stok (SKU) dipamerkan dan lebih 500 peranti SKU tersedia untuk pembelian termasuk telefon pintar, peranti Kecerdasan Buatan Pelbagai Perkara (AIoT) dan penyelesaian rumah pintar. – Bernama

    Gambar FB Xiaomi Malaysia
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda