Saturday, December 28, 2024
21.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    XMUM buka ‘jendela China’ untuk pelajar asing

    KUALA LUMPUR – Dilatari langit membiru dan air tasik tenang bak cermin, reka bentuk bangunan yang menggabungkan seni bina tradisional Hokkien dengan gaya Barat berdiri megah di tengah-tengah kehijauan nan subur, dengan patung Tan Kah Kee bersalut cahaya mentari.

    Dilihat keceriaan terukir pada wajah setiap pelajar apabila mereka berjalan pantas menuju ke bilik kuliah, menjadikan serata pelosok kampus Universiti Xiamen Malaysia (XMUM) penuh dinamik di kala pagi.

    Presiden China, Xi Jinping dalam rangka lawatan ke Malaysia pada 4 Oktober 2013 menyaksikan perjanjian mengenai pembinaan XMUM ditandatangani.

    Kini, universiti itu merupakan hasil ikonik kolaborasi institusi pengajian tinggi (IPT) China-Malaysia, dan turut digelar sebagai ‘permata’ Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

    KESINAMBUNGAN WAWASAN

    Tidak lama selepas bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan menaiki tren ekspres, kelihatan deretan bangunan berdinding putih dengan bumbung merah.

    Di XMUM, anak muda dari latar belakang yang berbeza saling belajar dan mengenali antara satu sama lain sehingga menjalin ikatan persahabatan dan maju bersama. – Bernama

    Pada April, XMUM menerima kemasukan 500 pelajar baharu dari seluruh dunia bagi semester baharu. Sejak pengambilan pelajar dimulakan pada tahun 2015, lebih 12,000 pelajar dari 40 buah negara dan wilayah melanjutkan pengajian mereka di XMUM.

    “Saya mahu meneruskan pembelajaran ke China selepas tamat pengajian di sini (XMUM),” kata seorang pelajar tahun pertama, Chuah Yong Ni.

    Gadis Malaysia itu mempunyai cita-cita tersendiri, iaitu menjadi penyedia kandungan berunsurkan pelancongan China menerusi platform media sosial untuk memudahkan lebih ramai orang mengenali China.

    Chuah merupakan pelajar jurusan pengiklanan dengan mengambil pelbagai kursus antaranya pembikinan filem, reka bentuk dalam seni visual, analisis data, ilmu psikologi dan komunikasi.

    Dengan peluang besar disediakan XMUM untuk mengasah bakat, beliau merasakan dirinya semakin hari semakin menuju kerjaya yang diimpikan.

    TANAH SUBUR LAHIRKAN BAKAT

    XMUM mempunyai 10 sekolah pengajian dengan menawarkan 23 program sarjana muda, 11 program sarjana, enam program kedoktoran dan tiga program persediaan, yang mencakupi pelbagai disiplin termasuk sastera liberal, sains, kejuruteraan, perubatan dan perniagaan.

    Terdapat empat lapangan kajian iaitu perubatan klinikal, sistem saraf dan sains tingkah laku, kejuruteraan serta sains sosial antara yang terdepan di pangkalan data Penunjuk Sains Asas (ESI).

    Statistik ESI terkini menunjukkan, XMUM berada di tempat teratas antara universiti Malaysia daripada segi purata petikan per kertas kerja. Lapangan kajian seperti penyelidikan Asia Tenggara, sains marin, kejuruteraan dan perniagaan amat diminati pelajar dari negara Asia Tenggara.

    Pengarah Pejabat Hal Ehwal Kampus Luar Negara Universiti Xiamen, Yu Hongbo berkata XMUM menempa kejayaan dalam pembangunan bakat, pembinaan disiplin, penyelidikan dan inovasi, pertukaran budaya, kerjasama antarabangsa dan sebagainya.

    Berpangkalan di Malaysia dan menyasar seluruh ASEAN, XMUM memiliki rangkaian pendidikan meliputi negara dan wilayah terlibat dalam BRI.

    BINA JAMBATAN, MUDAHKAN DIALOG

    Di XMUM, anak muda dari latar belakang yang berbeza saling belajar dan mengenali antara satu sama lain sehingga menjalin ikatan persahabatan dan maju bersama.

    Daripada pertandingan debat bahasa Cina, hinggalah konsert muzik rakyat China dan pameran warisan budaya tidak ketara, universiti itu menjadi platform penting dalam menyebarkan budaya China di peringkat antarabangsa, sekali gus membina jambatan untuk memudahkan pertukaran sosiobudaya antara China dengan Malaysia dan negara lain di Asia Tenggara.

    “Kami (XMUM) komited memupuk lebih banyak bakat muda yang berkemahiran dalam komunikasi silang budaya.

    “Diharap mereka (graduan) dapat memainkan peranan positif dalam merapatkan kerjasama China-Malaysia dan China-ASEAN serta menggalakkan pertukaran sesama negara terlibat dalam BRI,” kata Presiden XMUM, Wang Ruifang.

    Menurut beliau, selepas bertahun-tahun belajar dan hidup bersama, pelajar yang berlainan latar belakang akan memahami satu sama lain dengan lebih baik sehingga membina persahabatan seumur hidup.

    Ia merupakan gambaran persefahaman sesama rakyat yang dipupuk dari peringkat lebih mendalam, tambah Presiden Wang.

    Lepasan XMUM, Sean Elijah Tan, seorang anak muda dari Malaysia, kini meneruskan pengajian program sarjana di Universiti Peking.

    Bagi pemuda itu, pengalaman belajar di XMUM mencetuskan minat yang besar terhadap China terutamanya hubungan China dengan negara jiran.

    Dia berharap dapat mendalami jalinan Malaysia-China daripada segi sejarah, budaya dan ekonomi, serta memanfaatkan pengetahuannya untuk menggalakkan pertukaran dan kerjasama antara dua negara.

    “Saya bercita-cita menjadi jambatan yang menghubungkan China dan Asia Tenggara,” kata Tan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda