Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Pasukan Strike No Problem (XNP) muncul juara keseluruhan pasukan lelaki dan juara keseluruhan kejohanan dalam Kejohanan Tenpin Boling Sambutan Hari Guru ke-29 yang berlangsung di iBowl Utama Bowling, Batu Satu, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang dalam kejohanan berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Kejohanan yang dibukakan penyertaan kepada warga Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang masih dalam perkhidmatan sahaja dibahagikan kepada empat kategori iaitu Kategori Individu Lelaki VIP, Kategori Individu Perempuan VIP, Kategori Berpasukan Lelaki dan Kategori Berpasukan Perempuan.
Bagi Kategori Individu Lelaki VIP, juara disandang oleh Dr Adam bin Haji Jait diikuti di tempat kedua oleh Shahrizal bin Haji Emran dan di tempat ketiga ialah Julaihi bin Mohammad.
Bagi Kategori Individu Perempuan VIP, juara ialah Pengiran Dr Seri Rahayu binti Pengiran Ya’akub, tempat kedua ialah Norhayati binti Haji Serudin dan tempat ketiga ialah Hajah Murni binti Abdullah.
Bagi Kategori Berpasukan Lelaki, juara ialah Pasukan XNP, tempat kedua ialah Pasukan Chung Hwa (CHMS) Dragon dan tempat ketiga ialah Pasukan KG Bowlers (Kluster 6).
Bagi Kategori Berpasukan Perempuan, juara ialah Pasukan Chung Hwa Middle School (CHMS) Phoenix, tempat kedua ialah Pasukan Rimba II Striker Uno dan tempat ketiga ialah Pasukan Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong (SMMHT).
Di majlis berkenaan juga, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati turut menyampaikan hadiah kepada pemain lelaki terbaik iaitu Pengiran Saiful Rizal dari Pasukan XNP dan pemain perempuan terbaik iaitu Marilie Dimacali dari Pasukan Rimba II Striker Uno.
Kejohanan itu diadakan bertujuan untuk memeriahkan Sambutan Hari Guru ke-29, mengembangkan sukan tenpin boling di kalangan warga Kementerian Pendidikan, mengenal pasti pemain di kalangan warga kementerian yang berkebolehan untuk mewakili Kementerian Pendidikan dalam acara-acara di peringkat kementerian, kebangsaan atau antarabangsa, serta memupuk sema-ngat harmoni dan silaturahim di kalangan warga Kementerian Pendidikan dan KHEU.
