Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Mitsubishi Xpander yang ditunggu-tunggu kini bakal memasuki pasaran Brunei pada Jun ini nanti.
GHK Motors Sdn Bhd selaku pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi petang tadi mengumumkan bahawa Xpander akan memasuki pasaran negara ini selepas mendapat sambutan yang menggalakkan di luar negara.
Mitsubishi Xpander sebuah model Kompak MPV dengan tujuh tempat duduk menjadi tarikan ramai di negara-negara ASEAN terutamanya di Indonesia, Filipina dan Thailand.
Semasa sidang media yang berlangsung di Bilik Pameran GHK Motors, Beribi, Penolong Pengurus Jualan dan Pemasaran Mitsubishi GHK Motors, Dayang Mu’izzah binti Haji Khirul Abasah berkata sebanyak lebih satu juta Mitsubishi Xpander tempahan telah membuktikan kejayaannya secara global bagi Mitsubishi Motors dan juga pembangunan permintaan kereta jenis MPV itu.
Xpander mempunyai imej sportif dan moden pada waktu yang sama masih mengekalkan konsep penampilan ‘Dynamic Shield’.
Model berpenampilan moden ini dilengkapi dengan lampu LED di bahagian lampu depan dan belakang, di samping memiliki reka bentuk futuristik.
Mitsubishi Xpander ini dikuasakan dengan enjin 1.5 Mivec Petrol digabungkan dengan pilihan 4-kelajuan transmisi automatik atau 5-kelajuan transmisi manual yang direka khas untuk keselesaan pemanduan bagi model tersebut.
Sempena dengan pelancarannya pada awal Jun ini nanti, syarikat tersebut mengadakan promosi pra-tempahan awal, yang mana pelanggan layak menerima satu bulan bayaran ansuran dan tinted V-Kool percuma.
Bagi pelanggan yang ingin menguji dan melihat sendiri kehebatan kereta ini, bolehlah menguji pandunya kelak.

