Tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas pemergian vokalis kumpulan rock, XPDC, Allahyarham Mael, 55, dengan menjual barangan cetak rompak membabitkannya melahirkan rasa kesal di hati anggota kumpulan itu.
Tampil bersuara, pengurus XPDC, Mohd Yazid Selamat, berkata pihaknya akan mengambil tindakan dengan membuat laporan polis untuk mengekang perkara itu daripada berulang.
Jelasnya, anggota XPDC kecewa apabila terdapat pihak yang sewenang-wenangnya menggunakan jenama XPDC terutama untuk baju ‘Tribute To Legend Mael XPDC’.
“Kami akan membuat laporan polis termasuk melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat akaun TikTok yang menjual barangan XPDC secara haram itu.
“Kami tidak boleh membiarkannya berleluasa untuk mengaut keuntungan secara mudah. Hak anggota XPDC perlu dijaga.

Jelas Yazid, pihak yang menghasilkan dan menjual barangan mengaitkan Allahyarham Mael tanpa mendapatkan keizinan daripada keluarga.
“Apa yang kami lakukan semuanya dengan kebenaran. Pada awalnya, keluarga arwah agak keberatan, tetapi selepas berbincang, akhirnya mereka setuju. Ia bertujuan untuk warisnya juga. Tujuannya bagi biayai kenduri tahlil, siapkan batu nisan dan kubur. Juga boleh digunakan untuk infak bagi kebaikan arwah,” katanya.
Mengulas lanjut, Yazid berkata, anggota XPDC lain turut terkejut apabila mengetahui barangan cetak rompak sudah dijual secara berleluasa terutama menerusi aplikasi TikTok.
“Perkara inilah yang kami cuba elakkan. Pihak terbabit kaut keuntungan secara ‘atas angin’ sahaja. Mereka hanya fikirkan keuntungan berbanding rezeki halal.
“Contohnya, banyak royalti hasil jualan baju yang diterima oleh waris arwah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Sabtu lalu. Inilah yang kami mahukan,” katanya. – Agensi

