Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Dalam usaha untuk membantu menambah bekalan darah, Restoran dan Katering Ya-Nur dan Ya-Nur Trading Company Sdn Bhd menganjurkan kempen derma darah di Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini.
Kempen itu menyaksikan warga syarikat Ya-Nur hadir untuk membuat pendermaan darah.
Pengurus Operasi Restoran Ya-Nur, Mo Bassir Ali ketika ditemu bual menjelaskan, ini adalah julung kalinya Ya-Nur mengadakan kempen derma darah secara berkumpulan dan berharap ia akan menjadi salah satu aktiviti berkebajikan dalam membantu masyarakat.
“Kempen ini mendapat sokongan daripada bahagian pengurusan restoran dan warga Ya-Nur sekali gus memberi galakkan kepada semua untuk sama-sama membantu menyelamatkan nyawa dengan cara membuat pendermaan darah.
“Kebanyakkan kakitangan Restoran dan Katering Ya-Nur ini merupakan penderma aktif dan kami menjangka untuk kempen ini lebih 70 kakitangan Ya-Nur akan tampil membuat pendermaan darah,” tambahnya.
Dengan adanya kempen seumpamanya, ia memberi kesedaran kepada kakitangan Ya-Nur dalam membantu menyelamatkan nyawa.
