HONG KONG, 3 NOV – Yahoo Inc berkata semalam ia telah keluar dari China, memetik persekitaran operasi yang semakin mencabar.
Pengeluaran sebahagian besarnya bersifat simbolik, memandangkan kebanyakan perkhidmatan syarikat telah pun disekat oleh badan penapisan digital China. Namun tindakan kerajaan baru-baru ini untuk mengembangkan kawalan ke atas syarikat teknologi pada umumnya, termasuk syarikat gergasi domestik, mungkin memberikan kesan kepada Yahoo.
“Menyedari persekitaran perniagaan yang semakin mencabar di China, pelbagai perkhidmatan Yahoo tidak dapat lagi diakses dari China mulai 1 November,” kata syarikat dalam satu kenyataan. Ia berkata ia masih komited kepada hak pengguna dan internet yang bebas dan terbuka.
Tindakan syarikat diambil ketika kerajaan Amerika dan China bertelingkah mengenai teknologi dan perniagaan. AS telah mengenakan sekatan ke atas syarikat telekom Huawei dan syarikat teknologi China lain, mendakwa mereka mempunyai hubungan dengan kerajaan China, tentera atau kedua-duanya.
China berkata AS menindas persaingan secara tidak adil dan berusaha menyekat kebangkitan teknologi China.
Yahoo adalah syarikat teknologi asing terbaharu yang keluar dari China, di samping Google dan Linkedln, platform Microsoft. Sebagai ganti, syarikat China telah mewujudkan internet alternatif dengan syarikat gergasi digital mereka sendiri. Bar gelintar Baidu telah pun mengganti Yahoo dan Google di China dan WeChat dan Weibo merupakan platform media sosial terkenal.
Yahoo sebelumnya telah mengurangkan operasi di China, menggugurkan perkhidmatan muzik dan e-mel pada awal 2010 dan menutup pejabat Beijing pada 2015. Sesiapa yang cuba mengakses kepada Engadget China, laman berita teknologi akan menerima ‘popup’ mengatakan laman tidak lagi menyiarkan isi kandungan. – AP
