Yakin ASEAN atasi cabaran secara kolektif

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam perutusan sempena Hari ASEAN 2020, hari ini, bertitah menekankan yang Negara Brunei Darussalam akan terus bekerjasama dengan Vietnam serta negara-negara anggota ASEAN yang lain ke arah mencapai matlamat yang sama bagi manfaat semua rakyat.

Brunei juga akan menyokong sepenuhnya Vietnam dan kerja-kerja yang dilaksanakannya sebagai pengerusi ASEAN pada 2020 di bawah tema, Bersatu Padu dan Responsif (Cohesive and Responsive).

Dengan ASEAN meraikan ulang tahun ke-53 hari ini, negara-negara anggota mempunyai peluang untuk merenung kembali pencapaian ASEAN serta untuk meraikan perkembangan yang telah dicapai oleh rantau berkenaan.

“Bersama kita telah membina sebuah komuniti yang mengalami pembangunan ekonomi, perkembangan sosial dan kemajuan penting, seperti dalam pendidikan dan penjagaan kesihatan, yang telah menaikkan standard kehidupan penduduk di rantau ini,” titah Baginda.

Dalam perutusan itu, Baginda menyatakan bahawa dalam tahun-tahun kebelakangan ini, peranan ASEAN amat penting untuk menangani cabaran-cabaran secara kolektif daripada krisis kewangan global sehingga perubahan iklim dan bencana alam.

“Hari ini, pengalaman dan kesiapsiagaan ASEAN telah membantu kita untuk menghadapi pandemik COVID-19. Kita bertekad untuk membendung penularan virus itu dengan pantas dan komprehensif supaya dapat menangani impak sosioekonominya terhadap negara-negara kita.”

Dalam hubungan itu, Baginda bertitah, tumpuan telah diletakkan ke atas pemulihan yang cepat yang akan membangunkan rantau berkenaan supaya lebih kukuh dari dahulu dengan memastikan ketahanan kepada mana-mana ketidaktentuan yang mungkin akan muncul nanti.

“Dengan melakukan itu, ASEAN juga meningkatkan kerjasama dengan rakan-rakan kongsi sedia ada serta mencari kerjasama yang baharu bagi keamanan, kestabilan dan kemakmuran jangka panjang di Asia Tenggara dan seterusnya.”

Dalam perutusan Baginda lagi, ketekadan ASEAN untuk berdiri teguh dan bekerjasama
membantu rakyat semasa sukar ini menggambarkan ikatan istimewa yang berkekalan antara negara-negara anggota ASEAN.

“Beta oleh itu yakin yang ASEAN akan mengatasi pandemik COVID-19 secara kolektif dan muncul sebagai sebuah komuniti yang lebih penyayang, berdaya tahan dan makmur.”

Baginda juga berkenan menyampaikan ucapan Selamat Hari ASEAN bersama harapan berterusan bagi masa depan yang cerah untuk ASEAN dan rakyatnya.