Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Yakin Sports menjadi platform untuk membantu mempromosi berbagai jenis sukan tanah air.
“YAKIN SPORT akan menghimpunkan liputan aktiviti-aktiviti dan kejohanan sukan semua peringkat sehingga ke peringkat kebangsaan, dan akan dilaratkan ke peringkat antarabangsa”.
Perkara ini dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yakin Sport, Dayang Hernah Nur Imani binti Muhd. Jeffrey pada majlis pelancaran Yakin Sports di Pejabat Hitune Group of Companies, di Kampung Mata-Mata, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu, Penasihat Yakin Sports, Mejar (Bersara) Muhammad Talib bin Muhammad Tahir yang juga Setiausaha Agung Persatuan Kayak Kebangsaan Brunei Darussalam, dan seterusnya merasmikan pelancaran platform Yakin Sport.

Katanya lagi,“ YAKIN SPORTS akan menjadi jambatan penghubung antara komuniti sukan dari peringkat akar umbi dan ke pentas kebangsaan yang akan melakar sejarah dalam liputan sukan di Negara Brunei Darussalam”.
“Ini adalah langkah kita untuk memperluaskan impak sukan secara lebih inklusif, dan ini termasuk sukan Paralimpik dan e-sukan yang semakin popular dewasa ini,” ujarnya.
Beliau percaya platform berkenaan menjadi satu wahana yang menyatukan masyarakat, membina semangat kesukanan serta melahirkan bakat-bakat yang mampu mengharumkan nama negara.
Dengan adanya platform itu, ia juga boleh dijadikan sebagai rujukan untuk setiap pencapaian, penganjuran dan kejayaan yang mampu menjadi perhatian dan dihargai.
Turut hadir di majlis itu, Pengerusi HiTUNE Group of Companies dan Yakin Sports, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang.

