KUALA LUMPUR, 26 OGOS – Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) kini memberi tumpuan kepada Grand Prix San Marino 2019 selepas pelumba pasukan itu menunjukkan kemajuan dan kerja berpasukan yang hebat di litar Silverstone di United Kingdom pada Ahad.
Terdahulu, Franco Morbidelli mencatatkan keputusan terbaiknya dalam MotoGP musim ini selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelima dalam Grand Prix British 2019.
Ketua pasukan Datuk Razlan Razali berkata mereka gembira dengan keputusan Morbidelli itu dan mengharapkan persembahan pelumba dari Itali itu yang lebih baik pada perlumbaan akan datang.
“Kami menunjukkan prestasi dan kerja berpasukan yang hebat di Silverstone. Di MotoGP, kami sangat gembira dengan Franco yang meraih keputusan terbaik dalam MotoGP setakat ini dan kami tahu ada lagi persembahan lebih baik daripada beliau. Ia adalah satu kemalangan yang tidak diingini buat Fabio Quartararo yang menunjukkan prestasi hebat sepanjang minggu.
“Di Moto3, Ayumu Sasaki dan John McPhee berlumba dengan baik dan mereka dalam persaingan untuk kedudukan podium yang selesa (masing-masing di tempat keenam dan ketujuh). Di Moto2, kami ingin berterima kasih kepada Bradley Smith atas usahanya yang muncul kembali dalam kategori ini setelah sekian lama. Fokus kami sekarang adalah di Misano,” katanya dalam kenyataan. – Bernama